Lt Kol Ts Dr. Maimunah, pegawai wanita ATM wakil tunggal Asia pada ‘Defence Leaders Forum’


  • Relaks
  • Isnin, 07 Apr 2025

Maimunah merupakan salah seorang speaker dalam program 'Defence Leaders Forum' di Warsaw, Poland.

LEFTENAN Kolonel Ts Dr. Maimunah Omar, seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), diberi penghormatan untuk menjadi salah seorang speaker dalam program Defence Leaders Forum yang berlangsung pada 25 hingga 27 Mac lalu di Warsaw, Poland.

Beliau adalah satu-satunya pegawai wanita dari benua Asia dan wakil tunggal Asean yang dijemput untuk berkongsi pandangan di pentas antarabangsa itu bersama-sama dengan 83 speaker lain dari seluruh dunia, termasuk pegawai kanan tentera dan pakar-pakar dari Kesatuan Eropah (EU), NATO, British Army, Kanada, serta Amerika Syarikat.

Dalam perkongsian beliau bertajuk 'Military and HADR Logistics in ASEAN: Challenges and Opportunities', Lt Kol Ts Dr. Maimunah memberikan fokus kepada mekanisme pengendalian bencana yang dijalankan oleh Asean melalui platform seperti AADMER, AMRG, dan DELSA.

BACA LAGI: Rai isteri dan ibu tercinta di Pulau Mutiara, resort tawar pakej menarik bersempena Hari Ibu

BACA LAGI: [VIDEO] 'I love you nenek', wanita India hadiahkan baju raya, kemas rumah warga emas sebatang kara di Kluang

Beliau menekankan peranan penting tentera dalam menggerakkan pengurusan dan pengendalian bencana di kebanyakan negara Asean.

Selain itu, beliau turut berkongsi tentang kerjasama dan kesepakatan Asean dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi bersama dalam pengurusan bencana.

Dalam forum tersebut, Maimunah juga memaklumkan mengenai kolaborasi antara Asean dan EU menerusi Enhancing Security Cooperation in and with Asia (ESIWA), Tentera Jerman, serta MiDAS.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, satu seminar dan bengkel mengenai Pengurusan Bencana bersama Asean dijadualkan pada September tahun ini di Kuala Lumpur.

Pemilihan Lt Kol Ts Dr. Maimunah sebagai speaker di acara berprestij itu adalah hasil daripada penglibatan cemerlang beliau sebelum ini, termasuk sebagai speaker dalam seminar dan bengkel Five Power Defence Arrangement (FPDA) Logistic Group serta FPDA Working Group yang diadakan pada tahun lalu.

Pengiktirafan itu turut menggariskan sumbangan berharga beliau dalam memajukan kerjasama keselamatan dan pertahanan di peringkat antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram