
PAKAIAN murah yang dijual secara meluas dalam pasaran bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah boleh mengganggu sistem hormon manusia.
Demikian penegasan disuarakan oleh seorang personaliti media sosial, Reina Lum dalam satu perkongsian video di Instagramnya.
Menurut beliau, kebanyakan pakaian fast fashion yang dijual pada harga rendah mengandungi bahan kimia berbahaya seperti phthalates dan formaldehid.
BACA LAGI: Lena dibuai mimpi, ditemani bunyi unggas waktu pagi di resort mewah dalam hutan
Berdasarkan Institut Kesihatan Nasional (NIH), phthalates adalah pengganggu endokrin yang boleh mengganggu sistem hormon badan, menyebabkan masalah seperti gangguan reproduktif, metabolik, neurologi dan imunologi.
Justeru, Reina menyarankan agar orang ramai khususnya penggemar fesyen untuk menyemak label material pada pakaian seperti meneliti label pada makanan.
"Saya sarankan anda untuk buka almari dan baca setiap label baju. Demi kesihatan, baca label pakaian sama macam baca label makanan," tegasnya.
Kenyataan itu disokong oleh pelbagai kajian dan laporan yang mengupas kesan sebenar bahan kimia dalam pakaian terhadap kesihatan manusia.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melaporkan penemuan bisphenol berbahaya dalam tekstil, terutamanya pakaian dalam wanita yang boleh mengganggu sistem endokrin dan menjejaskan tahap kesuburan.
Selain itu, laporan dari Business Insider mendedahkan bahawa beberapa pakaian daripada jenama fast fashion mengandungi bahan kimia toksik dalam jumlah yang membimbangkan seperti phthalates, plumbum dan kadmium.
Oleh sebab itu, pendedahan berterusan kepada bahan-bahan ini boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan yang serius.
Penemuan-penemuan ini jelas menekankan kepentingan bagi pengguna di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam memilih pakaian dan menekankan kepentingan menyemak label bahan yang digunakan sama seperti amalan menyemak label pada makanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram