Penuhi impian Yusri Che Lah, Perak 'comeback' kutip 3 mata di Stadium KL


  • Podium
  • Ahad, 06 Apr 2025

Azfar (Perak) berjaya meletakkan Perak di hadapan 2-1 selepas ketinggalan sepenuhnya pada separuh masa pertama. — Perak FC

PERAK FC berjaya membawa pulang tiga mata selepas bangkit ketinggalan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Kuala Lumpur pada Ahad (6 April).

Anak-anak buah Yusri Che Lah pada mulanya kelihatan sangat sukar untuk mendominasi perlawanan selepas barisan serangan KL City lebih banyak bermain di dalam kotak penalti pasukan pelawat.

Selepas hampir 30 minit KL City mendominasi perlawanan, akhirnya The City Boys membuka akaun jaringan menerusi kapten pasukan, Paulo Josue selepas menerima hantaran dari rakan sepasukan.

BACA LAGI: Beri jersi kepada Tengku Mahkota Pahang, Tok Gajah bakal rekrut import Nepal musim depan?

BACA LAGI: Pemilik Man City pernah dapatkan khidmat bintang Selangor

Walaupun Perak cuba memberikan reaksi dengan beberapa percubaan dari luar kotak penalti dan serangan balas pantas, mereka gagal menembusi pertahanan KL City.

KL City mengakhiri separuh masa pertama dengan kelebihan 1-0, dan berharap untuk terus mempertahankan kelebihan itu untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Bersambung babak kedua perlawanan, Yusri melakukan beberapa pertukaran selepas menerima kritikan daripada penyokong The Bos Gaurus.

Kemasukan Wan Zack Haikal ternyata memberikan suntikan baharu buat Perak apabila mereka kembali bangkit hasil jaringan penalti Luciano Guaycochea pada minit ke-76.

Tiga minit kemudian, larian solo dan rembatan Nur Azfar Fikri berjaya meletakkan Perak di hadapan 2-1 selepas ketinggalan sepenuhnya pada separuh masa pertama.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari peluang, namun pertahanan kukuh serta taktikal yang tepat dari Perak dan KL City mengekalkan keputusan 2-1 sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu sekali gus Perak berjaya membawa pulang tiga mata dan berada dalam landasan tepat untuk menamatkan saingan di kedudukan pertengahan liga.

Sebelum ini, Yusri juga berkongsi bahawa kedatangan mereka ke Kuala Lumpur bukan sahaja untuk melengkapkan perlawanan tetapi mendapatkan mata.

"Kami hadir untuk mendapatkan mata dan bukan sekadar melengkap sisa perjuangan dalam baki tiga perlawanan," katanya.

Kemenangan ke atas KL City itu membuka peluang untuk Perak merampas kedudukan liga di tangga keenam apabila hanya dibezakan satu mata dengan The City Boys.

Selepas ini, Perak akan melayani kunjungan Sri Pahang FC pada 12 April sebelum terbang ke Borneo untuk bertemu Sabah bagi perlawanan akhir liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram