
ADAKAH anda tahu, bintang import Selangor FC pernah menarik minat pemilik Manchester City, City Football Group (CFG) untuk menandatangani kontrak bersama salah sebuah kelab mereka.
Apa itu CFG? City Football Group ialah sebuah organisasi pemilik kelab bola sepak global yang berpangkalan di Manchester, England.
Ia ditubuhkan pada 2013 sebagai satu entiti yang mengurus, membangunkan dan menyelaras pelbagai kelab bola sepak di seluruh dunia dengan satu visi dan falsafah yang sama.
BACA LAGI: Bawa Quaresma ke Alor Setar, Kedah di landasan tepat usaha pulih kewangan — Ramon Marcote
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan sokong LGBT, kelab Jerman terus pecat penyerang senior
City Football Group paling dikenali sebagai syarikat induk kepada Manchester City, salah satu kelab paling dominan dalam bola sepak Eropah dan dunia sejak lebih sedekad lalu.
CFG dimiliki secara majoriti oleh Abu Dhabi United Group milik Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, seorang figura penting dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut mempunyai kepentingan besar dalam pelaburan sukan global.
Rangkaian CFG kini merangkumi lebih daripada 10 kelab, termasuk New York City FC di Amerika Syarikat, Melbourne City FC di Australia, Girona FC di Sepanyol, Mumbai City FC di India, dan Yokohama F. Marinos di Jepun.
Walaupun tidak memiliki pegangan saham secara langsung, Club Bolivar dari Bolivia juga tergolong sebagai rakan kongsi rasmi pertama kepada CFG, menunjukkan pendekatan strategik kumpulan ini yang merentasi pelbagai tahap pemilikan dan kerjasama.
Jadi kelab manakah mendapatkan khidmat bintang Selangor itu? Pasukan dimaksudkan Club Bolivar yang pernah menandatangani Ronnie Fernandez sebelum dia menyertai Gergasi Merah musim ini.
Pada 2016, Ronnie mengambil langkah berani dengan berhijrah ke luar negara, menyertai Deportivo Cali di Colombia.
Walaupun hanya mencatatkan dua gol dalam 19 penampilan liga, pengalaman di Colombia membuka pintu untuknya ke pasaran bola sepak antarabangsa.
Perjalanan kariernya kemudian membawanya ke Club Bolivar di Bolivia pada musim 2016/17 yang mana dia memainkan peranan penting dalam membantu kelab tersebut menjuarai Liga de Futbol Profesional Boliviano.
Ronnie menjaringkan tujuh gol dalam 22 penampilan liga, menjadikannya antara penjaring utama kelab pada musim tersebut.
Selepas kejayaan di Bolivia, Ronnie berpindah ke Al-Fayha FC di Arab Saudi pada 2017 dengan yuran perpindahan sekitar €1.75 juta (RM8.50 juta).
Dia segera menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan muncul sebagai penjaring terbanyak Saudi Professional League musim 2017/18, dengan 13 gol dalam 25 penampilan.
Pada 2023, Ronnie kembali ke Club Bolivar untuk kali kedua dan kepulangannya disambut baik oleh penyokong, sekali dia membalas kepercayaan tersebut dengan prestasi cemerlang.
Sepanjang musim itu, Ronnie menjaringkan 18 gol dalam 26 penampilan liga, membantu Bolivar dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan domestik dan memberikan impak signifikan dalam kempen Copa Libertadores dengan empat gol dalam sembilan perlawanan.
Kini, Ronnie merupakan tonggak utama Selangor dan telah menjaringkan 12 gol dalam 31 penampilannya bersama Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram