
DARI sebuah padang kecil di Kampung Kaingaran dekat Tambunan, Sabah ke pentas bola sepak kebangsaan, Henrietta Justine kini melakar sejarahnya tersendiri.
Walaupun baru berusia 23 tahun, penyerang skuad The Rhinos itu bukan sekadar seorang pemain biasa, dia adalah simbol keberanian, keazaman, dan impian anak jati Borneo yang tidak pernah pudar.
Minat Henrietta terhadap bola sepak bukan datang secara kebetulan. Sejak kecil, dia diasuh oleh abang-abangnya dan sepupu-sepupunya yang sering mengajaknya bermain di padang setiap petang.
BACA LAGI: 'Garang bonar Milah' — Skuad wanita NSFC menang 22 gol tanpa bolos
BACA LAGI: 'Kita cuba satu gol, lepas itu hatrik', Intan Sarah beri segala kudrat buat Malayan Tigress
Dari situ, benih kecintaan terhadap bola sepak mula membara sehingga dia digelar disebut-sebut sebagai 'Diamond of Sabah' kerana rekod cemerlang dalam bola sepak.
"Dari sekadar bermain di kampung, saya mula sertai kejohanan peringkat sekolah dan akhirnya dipilih ke Sekolah Sukan.
"Di sana, saya bertemu pemain berbakat dari seluruh negara dan saya tahu, saya perlu bekerja lebih keras untuk bersaing," kongsinya kepada Majoriti.
Henrietta memenangi anugerah penjaring terbanyak PTSR 2022 dengan tujuh gol. — Facebook FAM
Perjalanannya tidak mudah. Dari sekadar bermain suka-suka di kampung, Henrietta mula menyertai kejohanan sekolah dan menonjol sehingga terpilih ke Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) dan di sinilah ujian sebenar bermula.
"Saya berhadapan dengan pemain-pemain berbakat dari seluruh Malaysia. Ketika itu, saya tahu – jika saya mahu pergi jauh, saya harus berjuang lebih keras," ujarnya.
Dari padang ke pentas antarabangsa
Bakat Henrietta yang juga penyerang Malayan Tigress itu semakin menyerlah ketika di sekolah menengah yang mana beliau mula beraksi dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan berpeluang mewakili Malaysia.
Namun, ketika itu, bola sepak wanita masih belum mendapat tempat seperti sekarang.
"Dulu, bola sepak wanita tidak dipandang serius. Tapi saya tidak pernah berputus asa kerana saya percaya, satu hari nanti, sukan ini akan mendapat penghormatan yang sepatutnya,” katanya dengan penuh keyakinan.
Antara akademik, kerjaya dan bola Sepak
Ketika ini, Henrietta mahu memberi sepenuh perhatian kepada dua kejohanan domestik yang akan berlangsung selepas Aidilfitri. — Sabah Women Football
Selain mencipta nama di padang, Henrietta juga menamatkan pengajiannya dalam Diploma Sains Sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada tahun lalu.
Menurut Henrietta, mengimbangi akademik dan bola sepak bukan sesuatu yang mudah apatah lagi beliau mempunyai jadual yang padat.
"Saya belajar untuk menyusun jadual dengan bijak. Ada masanya saya penat, ada masanya saya hampir berputus asa, tetapi saya tahu, saya tidak boleh berhenti di sini," katanya yang kini bekerja sebagai eksekutif pentadbiran di ibu negara.
Menjawab soalan bagaimana Henrietta mengimbangi masa dengan kerjayanya, beliau mengakui ia bukanlah mudah.
"Sejujurnya bermain bola sepak ketika belajar dan bekerja sangat berbeza dan memerlukan disiplin yang tinggi.
"Saya menyusun jadual harian dengan rapi supaya kedua-dua akademik dan latihan bola sepak mendapat perhatian yang seimbang,"jelasnya.
Ketika ini, pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FASWSL) itu mahu memberi sepenuh perhatian kepada dua kejohanan domestik yang akan berlangsung selepas perayaan Aidilfitri.
"Saya mahu tumpu pada liga yang akan berlangsung selepas Hari Raya nanti seperti Liga FASWSL dan Liga Wanita Nasional (LWN).
"Kalau ada rezeki, saya juga mahu beraksi dengan kelab bola sepak di luar negara," katanya penuh harapan.
Sebagai pemainpernah melalui pelbagai cabaran, Henrietta juga mahu melihat lebih ramai gadis muda menceburi bola sepak dan tidak takut untuk mengejar impian. — Sabah Women Football
Realiti bola sepak wanita
Walaupun bola sepak wanita Malaysia semakin berkembang, Henrietta sedar masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Kita perlukan lebih banyak liga profesional, lebih banyak liputan media, dan paling penting seperti gaji yang adil untuk pemain wanita.
"Banyak pemain berhenti kerana mereka tidak dibayar sewajarnya,” katanya tegas.
Namun, beliau percaya perubahan itu sedang berlaku, dan dia mahu menjadi sebahagian daripada revolusi itu.
Sebagai pemain yang pernah melalui pelbagai cabaran, Henrietta juga mahu melihat lebih ramai gadis muda menceburi bola sepak dan tidak takut untuk mengejar impian.
"Jangan takut untuk mencuba. Kalau ada bakat, sertai kelab-kelab yang ada dan rebut peluang dalam pemilihan pemain.
"Bola sepak wanita sedang berkembang, jadi inilah masa terbaik untuk menunjukkan keupayaan kita," pesannya.
Ketika ditanya tentang impiannya dalam bola sepak wanita, Henrietta berharap agar pemilihan pemain kebangsaan dapat dilakukan dengan lebih adil bagi memberi peluang kepada semua pemain berbakat.
Antara pencapaian hebat Henrietta:
1. Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FASWSL)
2. Penjaring Terbanyak Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022
3. Penjaring Terbanyak KWSL 2022
4. Pemain Kebangsaan SEA Games 2023
Di sebalik kejayaannya, Henrietta tidak pernah melupakan sumber inspirasinya, penyerang Manchester City Women, Jess Park.
"Saya mahu menjadi seperti Jess Park seorang pemain yang bukan hanya berbakat tetapi juga berani mencipta sejarah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram