
"GEMENTAR dan takut." Demikian luahan Muhammad Sufi Abdul Aziz, ketika ditanya tentang pembedahan memasang implan tempurung kepala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat Alor Setar Kedah pada Selasa.
Bapa tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan itu turut memohon orang ramai untuk mendoakan pembedahannya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
"Esok (Selasa) saya akan menjalani pembedahan pada pukul 8 pagi. Sudah tentu saya gementar dan takut.
"Insya-ALLAH semuanya dipermudahkan esok pagi. Saya harap selepas pembedahan ini, saya akan menjadi lebih sihat walaupun tidak seperti dahulu," katanya pada Majoriti.
Sufi yang bekerja sebagai ahli fisioterapi turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Sungai Petani merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari yang sanggup meluangkan masa melawatnya di hospital.
"Saya dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Ahad dan Dr Mohammed Taufiq antara orang terawal melawat saya.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf pada semua pihak dan orang ramai sekiranya ada kelakuan saya yang tidak menyenangkan," katanya.
Dalam pada itu, ibu Sufi, Noraini Ishak meminta orang ramai untuk terus berdoa kepada anaknya.
"Terima kasih atas doa semua dan mohonkan kesembuhan anak saya.
"Saya juga minta maaf anak saya tidak boleh diganggu sekarang, beri dia masa untuk berehat dan sembuh sepenuhnya.
"Doktor juga menasihatkan Sufi untuk tidak diganggu," katanya.
Sufi terpaksa menjalani kehidupan dengan separuh tempurung kepalanya dibuang selepas kemalangan pada 2023.
Terdahulu, Sufi memuat naik satu hantaran di halaman Facebook peribadi miliknya memaklumkan dia akan menjalani pembedahan pada Selasa.
"Assalamualaikum sahabat- sahabat semua.
"Akhirnya, esok tiba hari pembedahan gantian tempurung kepala ini. Terima kasih kerana sentiasa mendoakan kesembuhan saya.
"Semoga pembedahan esok berjalan lancar dan cepat sembuh..
"Saya juga memohon ampun dan maaf dari abang dan kakak atas kelakuan atau kata2 saya yang tak menyenangkan.
"Halalkan segalanya, semoga ALLAH SWT ampunkan dosa saya dan dosa mak dan adik beradik saya dan kita semua sentiasa di dalam rahmat-NYA. Aamiin, kot tak bangun dah esak sampai bila-bila,maafkan saya," tulisnya pada Isnin.
Terdahulu, kisah Sufi mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan sumbangan RM15,000 untuk menampung kos rawatannya.
Sufi sebelum ini terlibat kemalangan selepas motosikalnya terbabas dalam kejadian di Tanah Merah, Jitra pada Disember 2023 yang menyebabkan dia mengalami kecederaan teruk di kepala sehingga tempurung kepala kanan terpaksa dibuang akibat pendarahan otak serius. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram