DARIPADA futsal kepada bola sepak, Intan Sarah Anisah Zulgafli tidak sabar untuk mencabar dirinya memainkan peranan baharu di kejohanan Sukan SEA Kemboja.
Penyerang yang mewakili Kelana United dalam Liga Bola Sepak Wanita Selangor itu dikenali di sebagai pemain futsal kebangsaan sebelum ini namun kini Intan Sarah tidak sabar untuk bermain dalam kejohanan bola sepak besar pertamanya bersama Malaysia.
Pemain berusia 24 tahun mendedahkan bahawa jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi melihatnya sebagai penyerang dan disebabkan itu dia mendapat kepercayaan untuk memainkan peranan tersebut buat kali pertama dalam bola sepak.
“Ini kali pertama saya mewakili Malaysia dalam bola sepak dan juga sebagai penyerang buat kali pertama. Tekanannya tidak tinggi tetapi rasa gugup kerana ini pengalaman pertama.
“Sudah tentu kami tidak mahu kembali dengan kekecewaan dan orang kata kami tidak melakukan yang terbaik. Kami akan melaksanakan apa yang telah dilakukan oleh jurulatih Soleen dan membanggakan negara. Jika kami memenangi perlawanan, ia akan menjadi bonus," katanya.
Malaysia akan memulakan kempen Sukan SEA dengan menentang Vietnam dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Lama RCAF di Phnom Penh pada Rabu.
Vietnam adalah salah seorang pencabar pingat emas dalam Sukan SEA Kemboja dan akan turut beraksi dalam Piala Dunia di New Zealand pada Julai.
Intan Sarah (berdiri) memberitahu rakan sepasukan untuk memberikan yang terbaik pada pertandingan bola sepak wanita. — Facebook/FAM
Intan Sarah berkata, perlawanan berkenaan mencabar tetapi mengingatkan rakan sepasukannya untuk mengingati satu elemen penting.
“Kita tidak sepatutnya berputus asa. Menentang pasukan yang lebih sukar, kami perlu mengekalkan minda yang kami ada sebelum perlawanan. Kita mesti memberikan yang terbaik.
“Kami telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Malaysia menentang pasukan tempatan. Pasukan kami agak baharu.
“Pasukan kini terdiri daripada senior dan pemain muda, jadi tiada masalah untuk mencipta keserasian dalam kalangan kami," kongsinya.
Ketika ditanya berapa banyak gol yang ingin dijaringkan, Intan Sarah berharap akan mencetak hatrik buat Malayan Tigress namun dia menyedari bahawa perlu berusaha menjaringkan satu jaringan terlebih dahulu.
“Kita mulakan dengan satu gol dulu. Jika mendapat satu, kemudian pergi untuk hatrik.
“Tetapi ia bergantung kepada jurulatih. Formasi kami agak terbuka. Saya tidak tahu sama ada saya berada dalam kesebelasan pertama. Sama ada saya atau Henrietta Justine. Tetapi jika diberi peluang untuk menjadi kesebelasan utama, saya akan berikan yang terbaik," ujarnya.
Selain Malaysia dan Vietnam, pasukan lain dalam Kumpulan A ialah Myanmar, Filipina dan Indonesia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,