
CUCU seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Natrah Ahmad yang meninggal dunia dalam satu kemalangan pada Sabtu meluahkan rasa terharu dengan ucapan takziah orang awam yang tidak putus-putus mendoakan neneknya.
Menurut Nur Syafiqah Arjis, Allahyarhamah meninggal dunia pada usia 74 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan di Gombak, Selangor dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada Ahad.
"Pemergian yang akan dirindukan, Terima kasih pada yang mendoakan arwah opah (nenek) saya, arwah meninggal pada usia 74 tahun," tulisnya.
BACA LAGI : [VIDEO] Tuhan bayar 'cash', lelaki disambar api ketika cuba bakar traktor di tepi jalan di Turkiye
BACA LAGI ; Remaja 19 tahun disyaki cabul budak perempuan ketika solat subuh di masjid Batang Kali ditahan polis
Pada masa sama, seorang pengguna Facebook, Wan LuQman menyifatkan Natrah Ahmad merupakan seorang anggota RELA yang sangat disenangi dalam kalangan ibu bapa dan murid-murid.
"Seorang anggota RELA yang dikenali mesra sebagai ‘Opah’ dalam kalangan ibu bapa dan murid-murid sekolah di sekitar Gombak meninggal dunia semalam (Sabtu) akibat kemalangan jalan raya selepas dilanggar sebuah lori.
"Pemergian Allahyarhamah yang berusia lingkungan 70-an itu mengejutkan ramai yang mengenalinya sebagai seorang yang berdedikasi dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di hadapan sekolah-sekolah," tulisnya pada Sabtu.
Menurut Wan LuQman, warga emas tersebut telah lama bertugas menjaga lalu lintas di beberapa sekolah di kawasan Gombak.
"Ramai ibu bapa dan penduduk setempat mengenalinya kerana dia sahaja memastikan keselamatan pelajar ketika melintas jalan, tetapi juga sentiasa tersenyum mesra dan menyapa mereka.
"Walaupun sudah lanjut usia, beliau tetap gigih menjalankan tugasnya tanpa mengeluh," katanya.
Wan LuQman turut berkongsi pengalaman terakhir melihat warga emas tersebut bertugas di hadapan Masjid Al Khairiyah pada hari Jumaat yang lalu.
Cuaca yang panas terik membuatkan dia terdetik untuk membelikan arwah air kelapa, namun kesibukan menguruskan anak menyebabkan niat itu tidak kesampaian.
Kongsi beliau lagi, Opah adalah seorang yang baik, sentiasa memudahkan urusan orang lain.
"Sepanjang yang kami tahu arwah, arwah memudahkan urusan orang lain dalam menjaga lalu lintas depan sekolah yang sesak, arwah menjaga dan memimpin tangan anak-anak melintas sekolah dengan selamat bagai seorang nenek menjaga cucunya sendiri.
"Kami menjadi saksi akan kebaikan dan jasa dia," tulisnya.
Pemergian Opah meninggalkan kesan mendalam kepada ramai yang mengenalinya. Ramai yang bersaksi akan kebaikan dan jasa warga emas tersebut dalam menjaga keselamatan pelajar dan pengguna jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram