
NAMANYA tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Kelincahannya beraksi di padang sebagai penyerang satu ketika dahulu menjadi igauan ngeri buat bek kelab tempatan.
Dengan pengalamannya yang luas sebagai bintang profesional, Bobby Gonzales kini diberi tanggungjawab besar untuk memimpin pasukan bola sepak wanita Sabah ke tahap yang lebih tinggi, dengan matlamat membawa pasukan ke kejayaan di pentas bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Pelantikan itu turut menandakan permulaan baru bagi pasukan bagi mengharungi musim 2025, dengan misi merampas semula gelaran juara LWN pada 2023 yang dimenangi Sabah FA sebelum terlepas kepada Kelana United pada tahun lalu.
BACA LAGI : Tiada gandingan buat Darren Lok hanya satu dari 2 sebab Sabah kurang padu
BACA LAGI : [VIDEO] 'Selamat datang ke JDT Alvaro Gonzalez, harap Feroz dengan Shahrul Saad korek ilmu daripada dia'
Sejak mengambil alih tugas melatih pasukan wanita sementara waktu akibat masalah kesihatan yang dialami oleh Justin Ganai, Bobby telah berkongsi pengalaman berharga dalam transisi dari pemain profesional kepada jurulatih.
"Peralihan dari seorang pemain profesional ke jurulatih adalah satu perjalanan yang penuh cabaran dan pembelajaran.
"Ia merupakan satu kerjaya baru bagi saya, tetapi pengalaman saya sebagai pemain memberikan banyak kemudahan dalam melatih pasukan," katanya kepada Majoriti.
Bobby mendapat kepercayaan untuk mengemudi pasukan wanita Sabah sebagai ketua jurulatih pada Januari lalu. — Gambar/ Facebook Sabah Football Association Women’s Team
Selepas beberapa bulan menjadi jurulatih interim, Bobby mendapat kepercayaan untuk mengemudi skuad wanita The Rhinos sebagai ketua jurulatih pada Januari lalu.
Bobby turut mengulas mengenai pengalamannya melatih pasukan wanita yang dianggapnya berbeza berbanding melatih pasukan lelaki.
Meskipun pernah melatih pasukan lelaki bawah 19 tahun pada tahun sebelumnya, Bobby mengakui bahawa cabaran yang dihadapi ketika melatih pasukan wanita jauh lebih kompleks.
"Tahun lepas, saya melatih pasukan lelaki bawah 19 tahun, tetapi apabila berhadapan dengan pasukan perempuan, cabarannya jauh berbeza.
"Perangai dan pendekatan mereka tidak sama, dan kadang-kadang mereka mempunyai cara tersendiri untuk menerima arahan.
"Sebagai contoh, apabila kami memberi arahan, ada dalam kalangan pemain yang kadangkala memberi reaksi yang berbeza atau tidak memberi perhatian penuh," tambahnya.
Walaupun berhadapan dengan cabaran tersebut, Bobby tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik dan memanfaatkan pengalaman sebagai pemain untuk mendekati serta membimbing pemain dengan lebih efektif.
Ketika menjadi jurulatih interim The Rhinos, Bobby membantu Sabah FA muncul sebagai naib juara LWN 2024. — Gambar/ Facebook Sabah Football Association Women’s Team
Susulan itu, katanya, beliau lebih suka menggunakan pendekatan yang melibatkan emosi dalam melatih pasukan wanita yang memerlukan sentuhan emosi yang lebih dalam.
Menurut Bobby, dalam melatih pasukan wanita, beliau lebih menekankan aspek hubungan peribadi dan membina kepercayaan antara pemain dan jurulatih.
"Salah satu perkara yang saya pelajari adalah bahawa pasukan wanita cenderung untuk lebih terbuka apabila ada hubungan emosi yang kuat dengan jurulatih.
"Ini bukan hanya tentang kemahiran teknik, tetapi lebih kepada bagaimana saya mendekati mereka sebagai individu.
"Kadang-kadang, mereka tidak hanya memerlukan arahan teknikal, tetapi juga sokongan emosi untuk terus percaya pada diri mereka sendiri.
"Jika mereka merasa dihargai dan difahami, mereka akan memberi lebih daripada yang diharapkan," tambahnya.
Menutup bicara, Bobby percaya bahawa pendekatan itu juga akan membantunya dalam membentuk pasukan yang lebih berdaya saing dan bersatu, serta membimbing mereka untuk mencapai kejayaan dalam bola sepak.
Sabah akan bersaing LWN 2025 yang dijangka bermula pada April dengan melibatkan penyertaan 12 pasukan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram