AKSI perlawanan Sabah FC menentang Terengganu FC pada Khamis masih lagi menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong Sang Badak sendiri.
Manakan tidak, perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu tidak menepati jangkaan mereka.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (DOKS) itu hanya sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Sang Penyu.
Lebih mengecewakan lagi, tuan rumah yang mendahului pada dua kali dalam perlawanan itu perlu akur kepada keputusan tersebut apabila Terengganu memperoleh gol penyamaan pada saat-saat terakhir di kedua-dua babak melalui sepakan percuma yang disempurnakan oleh Sony Norde.
Ia sekali gus menjadikan pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu gagal meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri.
Melihat pada pada kedudukan Sabah FC yang berada di tangga kelima carta Liga Super pada ketika ini, sudah tentunya ramai penyokong yang kecewa pada pasukan tersebut.
Sabah FC hanya mampu berada di tangga kelima carta Liga Super pada ketika ini. — Facebook/SabahFC
Dilabelkan sebagai salah satu pasukan yang mampu memberikan saingan kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada awal musim lalu, Sang Badak dilihat langsung tidak menepati ramalan pada ketika ini.
Sehubungan itu, rata-rata penyokong mengharapkan agar pihak pengurusan dan kejurulatihan membuat perubahan segera agar pasukan kesayangan mereka itu mampu menduduki tiga tangga teratas carta.
Pada masa sama, seorang penyokong mengharapkan agar Sang Badak menguatkan lagi benteng pertahanan mereka yang dirasakan agak lemah dan mempunyai beberapa kekurangan pada ketika ini.
Sabahan Angler berpendapat Kim Swee perlu menukar taktik perlawanan dan lebih fokus untuk mengatur strategi di bahagian pertahanan.
"Kita sudah lihat beberapa perlawanan sebelum ini, ternyata bahagian pertahanan sangat lemah. Apa yang terjadi? Penjaga gol Si Apek (Khairul Fahmi Che Mat) saya tak mahu ulas, faktor usia mungkin sudah rabun.
"Kita perlu jadi seperti JDT, pertahanan mereka memang hebat sebab itu Farizal Marlias dan Syihan Hazmi jarang dibolosi. Harap DOKS dapat melakukan sesuatu," tulisnya.
Kurangnya keserasian dalam kalangan pemain menyukarkan Darren Lok untuk mencari rentak dan menjaringkan gol. — Facebook/SabahFC
Sementara itu, Taka Taka Kio Peer mempunyai pendapat yang berbeza dengan corak permainan The Rhinos.
"Bukan kesilapan pertahanan sahaja tetapi dari corak permainan Sabah FC sendiri. Agak pelik pasukan Sabah FC, walaupun menang tetapi selalu gagal mengawal bahagian tengah kalau dibandingkan dengan pasukan dari Semenanjung.
"Tak tahu sama ada ini adalah corak permainan atau pemain memang tidak mampu mengawal bahagian tengah?
"Tetapi kalau difikirkan semula, kebanyakkan pemain adalah dari Semenanjung, kenapa kalau sampai di Sabah hilang pula kawalan bola itu?," soalnya.
"Nak marah pun susah, televisyen jadi sasaran gara-gara Sabah tidak pandai bertahan," kata Itung Biruk pula.
Antara perkara lain yang turut dibangkitkan oleh penyokong, Jamain Bakut pada ketika ini adalah kurangnya keserasian dalam kalangan pemain kelab itu sendiri terutamanya apabila melibatkan penyerang mereka Darren Lok.
"Darren Lok hebat tetapi tak ada bola yang diberikan pada dia, macam mana mahu menjaring?
"Kesian dia, dari menjadi penjaring terbanyak Liga Super kepada dukacita. Bola banyak diberikan ke belakang. Rasanya teknik bola ke belakang nak beri pada Apek, bukan ajaran DOKS agaknya.
"Apa-apa pun teruskan kecemerlangan Sabah FC. Terbaik," katanya.
Sepanjang 11 perlawanan, Sang Badak hanya mengutip 21 mata dengan enam kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan setakat ini.
Bagi perlawanan akan datang, The Rhinos bakal menerima kunjungan daripada skuad Terengganu FC pada 23 Mei di Stadium Likas untuk perlawanan ke-12 saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram