Pernah kena 'reject' stesen radio, 'Bila Rindu' Ruffedge rupanya cetusan idea Azan Addin sambut bayi sulung


  • Hiburan
  • Sabtu, 22 Mac 2025

Azan Addin (kanan) berperanan sebagai vokalis utama Ruffedge.

 

 

MULA melangkah masuk industri muzik menerusi lagu bergenre hip-hop, revolusi kumpulan Ruffedge ke arah rentak balada tercetus menerusi lagu Bila Rindu.

Merupakan salah sebuah lagu dari album Defined pada 2004, karya nukilan vokalisnya, Azan Addin Abdul Wahab, 50, itu kekal menjadi antara lagu ikonik Ruffedge sehingga ke hari ini.

Menurut penyanyi kelahiran Ipoh, Perak itu, Bila Rindu menyimpan seribu satu kenangan bukan sahaja buat kumpulannya, malah turut meninggalkan kesan mendalam pada momen kelahiran cahaya mata sulungnya satu ketika dahulu.

BACA LAGI: [VIDEO] Mencari Alasanmu dianggap lagu 'resign', mungkin ada kaitan isu peribadi Lukhman S — Ezad Lazim

BACA LAGI: 'Balik Kampung' antara 3 lagu wajib hiasi Aidilfitri walaupun tiada perkataan ‘raya’

Menganggap anugerah anak sebagai asbab terbitnya lagu tersebut, penghasilan lagu itu berlaku ketika Azan dan isterinya sedang menanti ketibaan bayinya di hospital.

"Lagu Bila Rindu ni masa anak pertama saya dalam perut, asalnya dah ada melodi dan lirik bahagian korus tapi verse, intro semua tak ada.

"Macam mana nak buat lagu kalau verse tak ada tapi korus je siap, langsung tak ada ilham nak siapkan tapi lepas bagi ahli Ruffedge yang lain dengar memang dorang nak lagu ni full.

"Ilham datang bila saya pegang perut isteri tu, terasa rindu sangat dekat anak yang belum lahir itu yang lirik dan melodi terus keluar jadi sebuah lagu berjudul Bila Rindu," katanya kepada Majoriti.

Ujar bapa kepada lima orang anak itu, lagu itu didedikasikan kepada semua insan yang sedang dalam kerinduan bukan sahaja pasangan bercinta, malah keluarga serta cinta pada Sang Pencipta turut boleh dikaitkan dengan bait lirik dihasilkan.

Sama sekali tidak menjangkakan ia mampu melonjakkan nama Ruffedge dalam industri, lagu tersebut asalnya tidak diterima syarikat rakaman muzik serta platform radio tempatan di awal penerbitannya.

Ruffedge kekal menjadi kumpulan hip-hop dan R&B paling diminati negara.

 

"Lagu ni asalnya tak diterima pun oleh syarikat rakaman dan radio, katanya lari dengan konsep asal Ruffedge yang masa tu lebih ke arah hip-hop, imej berseluar baggy takkan nyanyi balada.

"Sampaikan kami terasa macam anak tiri syarikat rakaman sebab tak ada bajet dikeluarkan untuk muzik video ataupun promosi dan sebagainya, memang tak laku.

"Sampai sekarang pun mana ada muzik video ataupun video lirik rasmi di YouTube, sebab itu orang nak nyanyi di pusat karaoke pun tak ada lagu ni," ujarnya.

Bercerita lanjut tentang proses penghasilan lagu tersebut, satu peristiwa hitam pernah berlaku apabila karya malar segar itu terpadam akibat isu teknikal di studio rakaman.

"Lagu dah hampir 90 peratus siap tapi terpadam hilang sekelip mata bila ada gangguang teknikal pada sistem rakaman suara.

"Masa tu Cat (Cat Farish) yang kawal bahagian teknikal tapi dia tak sempat save, bila elektrik sangkut habis hilang terus semua melodi dan nyanyian yang dah siap," tambahnya.

Di sebalik segala ujian getir itu, Bila Rindu membawa pulangan 'lumayan' buat Ruffedge apabila ia diterima baik peminatnya yang bagaikan dirasuk setiap kali didendangkan lagu tersebut.

Merancang untuk menghasilkan sebuah muzik video rasmi lagu berkenaan, Azan tidak menolak bahawa idea itu bakal direalisasikan dalam tempoh terdekat khas buat peminat setia mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram