
PELAKON otai, Amyza Aznan, 50, memohon doa ramai agar anaknya, Andre Mikhail Khairul, 22, diberikan kesihatan usai menjalani rawatan kemoterapi baru-baru ini.
Menghidap kanser paru-paru, anaknya kini berkepala botak dipercayai kesan rawatan tersebut.
Berkongsi perkembangan terkini, kesihatan Andre Mikhail difahamkan semakin beransur pulih dan dilihat menyanyikan lagu popular Datuk Jamal Abdillah berjudul Di Sudut Kamar Hatiku di kediamannya.
"Assalamualaikum semua. Ini anak saya status terkini selepas kemoterapi. Doakan ya untuk Andre Mikhail, saya hanya banyak berkata-kata dalam hati sahaja, tidak terluah," katanya di laman Instagram pada Ahad.
Meraih perkongsian ramai di laman sosial, rata-ratanya menitip doa buat anak pelakon itu agar diberikan kesembuhan segera.
"Seluruh Singapura doakan kebaikan, kesenangan keselamatan dan kesihatan rezeki anak akak," kata yangchesterutd.
"Semoga dipermudahkan urusan anakanda Andre, moga ALLAH beri kesembuhan yang cepat dan kesihatan baik," ujar qazemnor.
"Saya turut bersimpati kak, Mika, abang tau kau kuat, abang doakan baik-baik buat kau, sentiasa positif, jaga pemakanan, Insya-ALLAH dipermudahkan untuk sembuh, Mika anak yang kuat," tambah abrahamkhael.
Terdahulu, Amyza mengesahkan anaknya menghidap kanser tahap tiga selepas air dari paru-parunya sudah memasuki jantung dan tidak lagi berfungsi.
Jelasnya, anaknya mula mengadu sakit bahu dan hanya mendapatkan rawatan di klinik.
Bagaimanapun, simptom itu lama kelamaan berterusan apabila Andre menghidap demam dan batuk berpanjangan, selain sesak nafas ketika berjalan.
Hasil ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dijalankan mengesahkan ada ketumbuhan dalam paru-parunya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram