Jarak usia pasangan 7 tahun lebih muda, adakah Erra Fazira bakal ikuti jejak langkah Che Ta, Neelofa dan Intan Ladyana?


  • Relaks
  • Selasa, 25 Mac 2025

Perbezaan usia bukan penghalang kebahagiaan dalam rumah tangga. — Instagram/rozitachewan1 dan intanladyana

PERBEZAAN umur dalam perkahwinan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Fenomena lelaki berkahwin dengan wanita lebih berusia juga semakin diterima dalam masyarakat moden.

Malah dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW berkahwin dengan Saidatina Khadijah Khuwailid RA yang 15 tahun lebih berusia.

Ia jelas membuktikan bahawa perbezaan usia bukan penghalang kebahagiaan dalam rumah tangga.

BACA LAGI: Wanita semakin berdikari, kos kahwin cecah RM14,000 punca trend perkahwinan di Malaysia semakin menurun?

BACA LAGI: Pengaruh luar, kebebasan peribadi antara alasan ramai Gen-Z pilih kahwin berkonsepkan 'child-free'

Dahulu, masyarakat lebih cenderung kepada perkahwinan lelaki lebih tua kerana dianggap lebih stabil dari segi kewangan dan emosi.

Namun kini wanita lebih berusia dalam perkahwinan semakin diterima kerana faktor kematangan, kestabilan kewangan dan juga emosi.

Apatah lagi, wanita zaman kini lebih berdikari, berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya stabil, menjadikan mereka lebih bersedia untuk berumah tangga walaupun dengan pasangan lebih muda.

Baru-baru ini peminat seni tanah air mendapat berita gembira apabila primadona filem Melayu, Erra Fazira, 51, dikhabarkan sedang bercinta dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain, 44, atau lebih dikenali sebagai 'Mr E'.

Walaupun jarak usia tujuh tahun, kedua-duanya difahamkan mula serius menjalinkan hubungan sejak Ogos tahun lalu.

Ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran, 16, itu bagaimanapun tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai hubungan yang sedang terjalin selagi belum ada perkembangan ke arah fasa seterusnya.

Sehubungan itu, Majoriti senaraikan tiga selebriti Malaysia yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka lebih muda:

1)  Rozita Che Wan dan Zain Saidin - 11 tahun

Pasangan Rozita (kanan) dan Zain (dua dari kanan) berkahwin pada 11 Disember 2013. — Instagram/rozitachewan1 

Pasangan Rozita Che Wan, 52, dan Zain Saidin, 41, berkahwin pada 11 Disember 2013.

Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, merupakan pelakon dan usahawan berjaya, manakala Zain Saidin juga seorang pelakon terkenal. 

Walaupun perbezaan usia, rumah tangga mereka terlihat bahagia dan semakin kukuh dengan kehadiran cahaya mata, Aaisyah Dhia Rana yang kini menginjak umur 11 tahun.

2) Intan Ladyana dan Harris Alif - 17 tahun

 Intan Ladyana (kanan) dan Harris dikurniakan dua cahaya mata. — Instagram/intanladyana

Beza 17 tahun jelas bukan penghalang untuk penyanyi, Harris Alif, 26, menyunting pelakon popular, Intan Ladyana, 43, sebagai suri hatinya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 5 Februari 2021 selepas setahun menjalinkan hubungan cinta.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Evie Khadeeja dan Harris Umayr.

3) Neelofa dan Haris Ismail - 6 tahun

Neelofa (kanan) dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021. — Instagram/neelofa

Selebriti popular, Neelofa, 36, dan pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 30, telah mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.

Pasangan popular berkenaan turut aktif menghasilkan kandungan yang menarik di media sosial sebagai salah satu strategi perniagaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram