[VIDEO] Selepas tular, tukang sapu wanita Thailand miliki wajah persis model 'disunting' MUA, penangan bidikan jurugambar jalanan dari Rusia


  • Benua
  • Isnin, 24 Mac 2025

Tangkap layar memaparkan Meen ketika wajahnya dirakam dalam sesi fotografi jalanan di Bangkok.

SEORANG tukang sapu sampah di Thailand tular di media sosial selepas seorang jurugambar dari Rusia berkongsi potret dirinya dalam satu sesi fotografi jalanan di Chinatown, Bangkok, Thailand.

Jurugambar berkenaan, Semyon Rezchikov, yang sering merakam foto individu di jalanan setiap kali mengunjungi negara baharu, berkongsi video tersebut di akaun TikTok miliknya, @semyonrezchikov pada 14 Mac lalu, sebelum ia tular. 

Rakaman itu merakam gelagat tukang sapu sampah wanita tersebut menjalankan tugasnya di Jalan Yaowarat, lengkap berpakaian seragam rasmi daripada Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), serta bertopi sambil membawa penyapu dan penyodok sampah. 

BACA LAGI: [VIDEO] Sentuhan magis MUA Thai dan adibusana Rizalman Ibrahim serlahkan keanggunan anak menantu pengasas Sri Mawar

BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara

Berdasarkan video yang diambil Rezchikov, tukang sapu dikenali sebagai Meen itu dilihat merenung ke arah kamera tanpa senyuman.

Rezchikov kemudiannya menghampiri Meen yang sedang mengesat peluh pada wajahnya menggunakan lengan baju. 

Meen kemudian menanggalkan peranti pendengaran mudah alih yang dipasang di telinganya seraya tersenyum sejurus melihat gambar polaroid dirinya.

"Cantik," katanya sambil memaklumkan kemahiran bertutur dalam bahasa Inggerisnya agak terhad.

Video tersebut mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan warga maya dengan rata-ratanya meninggalkan komen positif dan memuji kecantikan dimiliki Meen.

Wanita itu kemudian tampil di ruangan komen untuk mengucapkan terima kasih kepada Rezchikov serta mereka yang memberikan kata-kata sokongan. 

Difahamkan, seorang individu juga sempat menyuarakan hasrat untuk 'menyuntingnya' sebagai kanvas solekan dan meminta Meen untuk membalas mesej yang dihantar.

Situasi itu turut menarik perhatian media Thailand iaitu pada 16 Mac, agensi berita DailyNews menyiarkan satu lagi sesi fotografi Meen bersama temu bual khas dengannya di laman Facebook rasmi mereka.

Menerusi temu bual itu, Meen berkata, beliau telah bekerja sebagai penyapu jalan selama setahun. 

"Sebelum ini, saya pernah melakukan pelbagai jenis pekerjaan tetapi akhirnya memilih untuk menjadi penyapu jalan secara rasmi demi mendapatkan manfaat kebajikan dan sokongan daripada BMA," ujarnya.

Meen juga mendedahkan bahawa beliau merupakan ibu tunggal kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 10 dan enam tahun. 

Manfaat serta sokongan daripada tempat kerja sangat membantu keluarganya. Oleh itu, Meen bercadang untuk terus bekerja sebagai penyapu jalan sehingga  bersara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram