
PERNAHKAH terfikir berapa kali anda menyentuh muka setiap hari?
Satu kajian oleh seorang ahli psikologi Jerman di Universiti Ruhr di Bochum mendapati, purata inidividu menyentuh muka adalah sebanyak 50 kali dalam sejam atau hingga 800 kali sehari.
Menurut penyelidik, Dr. Julian Packheiser, kebanyakan sentuhan itu lebih cenderung pada membetulkan gaya rambut atau menggosok mata.
Namun, sebahagian besarnya dilakukan tanpa sebab yang jelas.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Sentuhan muka berlaku lebih kerap dalam situasi yang memberi tekanan. — Gambar hiasan/Freepik
Hasil kajian dijalankan oleh Dr. Packheiser kesan sentuhan terhadap kesihatan dan penemuan didedahkan dalam majalah Spektrum Psychologie.
Sentuhan kurangkan tekanan
Beliau menjelaskan, sentuhan muka tanpa sedar boleh mempunyai fungsi penting.
“Menurut teori terkini, sentuhan muka yang tidak disedari bantu mengurangkan tekanan dan mengawal keseimbangan emosi.
"Pada masa sama, membantu meningkatkan kesihatan," katanya.
Bukan itu sahaja, hasil kajian juga menunjukkan bahawa sentuhan membantu mengurangkan kebimbangan, kesedihan, kesakitan dan tekanan darah.
Dalam satu kajian dijalankan pada 2021, penyelidik daripada Universiti Goethe Frankfurt mendapati bahawa bersentuhan dengan orang lain dan menyentuh diri sendiri sebelum berada dalam situasi yang memberi tekanan akan memberi kesan kepada tahap tekanan seseorang.
Mereka disentuh orang lain dan menyentuh diri sendiri mempunyai tahap hormon tekanan (kortisol) lebih rendah dalam darah berbanding kumpulan ketiga yang tidak disentuh.
Sebenarnya, tidak menyentuh muka kadang-kadang boleh menjadi lebih baik terutamanya jika tangan mempunyai mikroorganisma berjangkit (contohnya patogen).
Namun, ia bukan sesuatu yang mudah untuk elak menyentuh muka secara aktif dan sengaja bagi elak jangkitan
Lazimnya, individu cenderung menyentuh muka kerana membetulkan rambut ataupun menggosok mata. — Gambar hiasan/Freepik
Mengapa muka?
Dr. Packheiser menjelaskan, kajian lain menunjukkan sentuhan pada muka kerap berlaku dalam situasi yang memberi tekanan atau memerlukan pemikiran mendalam.
Dalam satu tinjauan dilakukan oleh satu kumpulan penyelidik daripada Institut Paul Flechsig, Pusat Neuropatologi dan Penyelidikan Otak di Hospital Universiti Leipzig, pada 2021, mendapati bahawa menyentuh muka sendiri bantu mengurangkan tekanan.
Seorang bekas penganalisis tingkah laku daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, Joe Navarro, menjelaskan dalam majalah Psychology Today, kecenderungan menyentuh wajah disebabkan anatomi tubuh.
Ini disebabkan muka dipenuhi dengan hujung saraf sensitif yang terhubung terus ke otak.
Saraf-saraf itu khususnya saraf kranial kelima (trigeminal) dan ketujuh (facial) membolehkan sentuhan pada muka sampai ke otak dengan lebih cepat dan berkesan berbanding bahagian badan yang lain.
Sentuhan lembut pada pipi atau bibir memberikan isyarat menenangkan kepada otak dengan pantas terutamanya dalam situasi yang memberi tekanan.
Menyentuh muka menenangkan otak dan membantu mengembalikan keseimbangan dalaman.
Menurut Navarro, ia juga memberi petunjuk kepada orang lain mengenai apa yang sedang berlaku dalam diri seseorang sama ada tertekan dan memerlukan sokongan.
“Jadi, apabila pasangan atau rakan sekerja sering menyentuh hidung mereka, jangan teragak-agak untuk bertanya adakah semuanya baik-baik saja?” nasihat Dr. Packheiser. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram