Daripada beli hanya pakai sekali, konsep sewa pakaian raya pilihan alternatif, elak baju 'terperap' di dalam almari


  • Bizz
  • Isnin, 24 Mac 2025

Beberapa pakaian dalam koleksi sewa We Rent Fashion adalah daripada koleksi peribadi Shue.

BAGI umat Islam, Ramadan merupakan bulan suci menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bermula dengan ibadah puasa, solat tarawih dan pengisian amalan kerohanian.

Selain itu, antara aktiviti lazim dilakukan adalah persiapan membeli pakaian baharu bagi meraikan lebaran.

Daripada pusat beli-belah hinggalah reruai, orang ramai memenuhi segenap ruang mencari baju kurung dan baju Melayu yang ideal.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

Bagi kebanyakan orang, tradisi ini lebih daripada sekadar kelihatan cantik untuk hari yang baik kerana ia turut berakar umbi dalam budaya, simbol pembaharuan dan kebersamaan.

Oleh itu, tidak hairan jangkaan membeli pakaian baharu setiap tahun sudah menjadi sebahagian daripada budaya menjelang hari raya.

Pemilik label seperti Nurita Harith, Rizman Ruzaini dan Hani Mokhta, antara menawarkan gaya moden dalam koleksi mereka.

Bagaimanapun, apa yang berlaku selepas perayaan berakhir?

Kebanyakan pakaian hari raya hanya cantik dan segak  digayakan pada hari lebaran, tetapi tidak selepas musim perayaan.

Tambahan pula cuaca panas dan lembab sepanjang tahun di Malaysia sebahagian besar individu mengambil jalan mudah menyimpan baju raya tersebut.

We Rent Fashion menawarkan pakaian hari raya daripada jenama seperti Zalia, Innai Red dan Wanzar.

Kitaran penggunaan ini membawa impak yang ketara.

Menurut data daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan perusahaan sosial Kloth Cares, sisa fabrik menyumbang 31 peratus - atau 432,901 tan - daripada jumlah sisa Malaysia pada 2021.

Jumlah itu bersamaan lebih kurang berat bagi empat Menara KL.

Di seluruh dunia, Global Fashion Agenda menganggarkan sejumlah 92 juta tan sisa fesyen global dihasilkan setiap tahun dengan gambaran bahawa sebuah lori sampah membuang muatan penuh pakaian ke tapak pelupusan setiap saat.

Perubahan, bagaimanapun, mula berlaku.

Lebih ramai rakyat Malaysia memikirkan semula keperluan membeli pakaian baharu untuk musim perayaan.

Alternatif yang mapan seperti menyewa dan membeli pakaian lebaran semakin mendapat perhatian, sekali gus menawarkan cara meraikannya tanpa perlu berbelanja besar di samping mengekalkan kemapanan.

Peralihan baharu

Salah satu penyokong untuk perubahan tersebut ialah Pengasas We Rent Fashion, Suraidah Pudelani, 43.

Suraidah juga dikenali sebagai Shue berkata, konsep menyewa pakaian meraikan lebaran semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Shue (kanan) memastikan pelanggan pulang dengan gembira selepas memilih pakaian ideal untuk disewa.

We Rent Fashion menawarkan alternatif kepada kitaran membeli pakaian baharu setiap tahun.

Seperti namanya, kedai itu mengkhusus dalam menyewa pakaian berjenama (termasuk pakaian hari raya) bermula dari RM15, sehingga RM50 sehari untuk sekurang-kurangnya tiga hari sewa, bergantung kepada jenama dan koleksi.

"Industri fesyen adalah salah satu penyumbang terbesar kepada sisa tekstil, dan banyak pakaian tradisional hanya dipakai sekali atau dua kali sebelum disimpan," jelas Shue.

"Dengan menawarkan penyewaan, kami memberi pengguna pilihan untuk menikmati fesyen yang cantik dan berkualiti tinggi tanpa pembaziran atau kos jangka panjang.

Matlamat kami adalah untuk menjadikan langkah kemapanan dan bergaya sebagai sesuatu yang mudah serta senang diakses."

Perkhidmatan penyewaan itu menyaksikan peningkatan permintaan terutama dalam kalangan profesional muda dan warga bandar berusia antara 18 hingga 45 tahun yang ingin tampil bergaya tanpa berbelanja terlalu banyak.

"Hari raya adalah musim paling sibuk. Orang ramai mahu kelihatan terbaik semasa meraikan, tetapi berhati-hati elak pembaziran ketika berbelanja," kata Shue.

Looop menawarkan koleksi pilihan untuk hari raya setiap tahun. Foto: Looop

Beliau juga mencatatkan peningkatan dalam budaya penyewaan, terutamanya semakin ramai individu yang menyewa almari peribadi mereka.

“Ia bukan konsep baharu – anda akan sentiasa menyewa untuk majlis perkahwinan atau menyewa pakaian untuk majlis tertentu.

"Tetapi menyewa untuk hari raya agak baharu.

"Bagaimanapun, kami dapati dua tahun kebelakangan ini ramai individu memilih alternatif ini," tambahnya.

Idea

Bicara lanjut, idea We Rent Fashion tercetus dek pengalaman Shue berdepan situasi tidak memiliki baju kurung ketika pulang ke Malaysia dari luar negara menjelang penghujung Ramadan.

"Untuk membeli sepasang busana mengikut standard saya, ia sangat mahal. Saya suri rumah sepenuh masa, jadi saya tidak boleh memakainya di mana-mana.

"Untuk membelanjakan wang yang banyak pada sepasang pakaian untuk dipakai sekali atau dua kali sahaja tidak masuk akal," ujarnya.

Beliau menyedari bahawa kitaran itu hanya akan diteruskan ke tahun depan, yang mana wang masih dibelanjakan untuk pakaian tidak dipakai lama. Kemudiannya dibiarkan berhabuk di dalam almari.

Lebih teruk, pakaian itu mungkin akan dibuang ke tapak pelupusan.

"Saya cuba menyelesaikan masalah sendiri, kemudian menyedari bahawa orang lain juga berkongsi masalah sama," ujarnya.

Pasaran preloved

Menyewa bukan satu-satunya cara untuk menikmati pakaian baharu sambil kekal mapan.

Ini kerana pembelian barangan preloved atau pakaian terpakai peribadi juga merupakan cara yang bagus dan semakin menjadi kegilaan penggemar fesyen pada masa kini.

Perniagaan tempatan yang menerajui perubahan dengan menjual pakaianraya preloved ialah Looop, sebuah kedai serbaneka dengan koleksi pilihan untuk musim perayaan seperti hari raya.

“Salah satu sebab utama kami memulakan Looop adalah untuk mewujudkan ekonomi kitaran dalam komuniti tempatan,” kata pengasas bersama Looop, Adani Bakhtiar, 28.

“Beberapa kedai terpakai pilihan yang kami lihat di Kuala Lumpur selalunya berasal dari luar negara, tidak mencerminkan gaya Asia Tenggara, jenama dan perayaan Malaysia.”

Keterujaan mencari pakaian raya yang sempurna (tanpa membebankan wang anda) tanpa tandingan. - Looop

Kedai terbabit melihat keperluan pelbagai pelanggan, daripada pelajar universiti kepada profesional yang bekerja dan juga golongaan lebih berusia terutamanya wanita dengan terdapat segelintir pelanggan lelaki.

"Tidak dinafikan pakaian preloved lebih murah dan lebih berpatutan daripada pakaian serba baharu," jelas Adani.

"Kami berpendapat orang ramai juga semakin sedar tentang amalan 'beli dan pakai sekali' pakaian perayaan."

Looop menjadikan beli-belah pakaian preloved lebih mengujakan dengan melakukan kurasi barangan yang unik melalui sistem konsainan.

Langkah itu memastikan pelanggan  merasai kegembiraan dengan mencari sesuatu yang istimewa.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan tahun-tahun sebelumnya, kami menjangkakan lebih ramai orang akan mempertimbangkan membeli pakaian preloved pada hari raya,” kata Adani.

Untuk We Rent Fashion, kemudahan dan kebolehcapaian adalah kunci. Shue menekankan kepentingan menjadikan proses penyewaan lancar dan mudah untuk menggalakkan lebih ramai orang menerimanya.

Beliau juga terus memperhalusi perniagaannya menjadi lebih baik.

"Kami belajar mengenai jenis fabrik yang lebih tahan lama, jadi apabila kami membeli pakaian untuk disewakan, kami membeli kain yang berkualiti," jelasnya.

Ke arah ekonomi kitaran

Kemapanan dalam fesyen merangkumi lebih daripada sekadar pakaian itu sendiri kerana ia juga tentang cara pakaian itu dikendalikan dari awal hingga akhir.

Shue memastikan kemampanan diterapkan dalam setiap peringkat proses penyewaan.

Tambahan pula, mereka bukan sahaja menyediakan alternatif untuk membeli pakaian serba baharu untuk musim perayaan.

Mereka juga memastikan setiap langkah turut melalui proses meminimumkan bahaya kepada alam sekitar.

Salah satu caranya ialah melalui kaedah pembersihan mereka.

Daripada menggunakan bahan kimia boleh merosakkan fabrik dan alam sekitar, Shue memilih penyelesaian pembersihan terbiodegradasi dan cahaya matahari semula jadi untuk mengeringkan pakaian.

Logistik adalah satu lagi bidang di mana mereka menggabungkan amalan mapan.

Untuk penghantaran, pakaian dibungkus dengan kertas sebelum dimasukkan ke dalam beg biru yang boleh diguna semula.

Daripada bergantung pembungkusan berlebihan yang hanya dibuang selepas digunakan, beg boleh guna semula digunakan untuk penghantaran dan pemulangan pakaian.

Selain menyewa dan menjual pakaian tersayang, We Rent Fashion dan Looop menyediakan cara mudah diakses untuk orang lain menyertai ekonomi fesyen bulat melalui sistem konsainan.

Pelanggan boleh meminjamkan pakaian mereka sendiri untuk disewakan di We Rent Fashion atau dijual di Looop sebagai barang preloved (termasuk pakaian perayaan, yang sangat dialu-alukan oleh pihak mereka).

Di pihak Shue, perjalanan membina perkhidmatan tersebut adalah tentang membuka laluan untuk dirinya dan orang lain lebih peka tentang pilihan fesyen.

"Sejak usia muda, saya sentiasa menggemari fesyen. Saya bukan orang dalam industri, tetapi sedar kesannya kepada alam sekitar.

"Saya rasa bersalah kerana menyumbang kepada perkara itu.

"Walau apa pun diperlukan untuk memanjangkan hayat pakaian - sama ada melalui perkhidmatan sewa atau menjual dan membeli barang terpakai - ia akan membantu memelihara alam sekitar dalam jangka masa panjang," ujarnya — The Star/NATASHA A.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram