
AKSI polis mengejar suspek jenayah yang berlaku awal pagi Ahad di Kuala Lumpur pantas tular hingga mengejutkan ramai.
Menurut sebuah video yang tular di media sosial, kejadian yang berlaku seperti dalam babak filem aksi melihatkan polis menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza di Jalan Kuching.
Suspek yang disyaki mencuri kabel bertindak meninggalkan kereta dinaiki sebaik melihat keberadaan polis di tempat kejadian dan melarikan diri di tengah-tengah jalan yang sesak.
BACA LAGI: Ibu 'microsleep' ketika memandu, budak 2 tahun maut di Melaka
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian yang berlaku pada 3.45 pagi itu menyaksikan anggotanya mengejar suspek dari Sentul hingga ke Jalan Kuching.
Apabila pemeriksaan dilakukan terhadap kereta tersebut, pihaknya menemui pelbagai alatan untuk melakukan kegiatan curi kabel.
"Dalam kejadian sekitar jam 3.45 pagi, kenderaan dinaiki suspek dikejar dari Taman Rainbow, Sentul hingga ke Jalan Kuching.
"Suspek sebelum itu dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota polis yang menjalankan rondaan kemudian bertindak mengejarnya.
"Semakan lanjut mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat penyewaan kenderaan. Polis kini sedang giat mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan, " kata Ahmad Sukarno.
Sehingga kini, pihak polis masih mengesan suspek yang berjaya melarikan diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram