
GARA-GARA terlelap, seorang ibu kehilangan anaknya yang berusia dua tahun selepas dilaporkan maut dalam kemalangan di Jalan Penghulu Jaabar, Melaka pada Sabtu.
Insiden yang berlaku kira-kira pukul 2.40 petang itu membabitkan dua kereta iaitu Perodua Axia yang dipandu ibu mangsa dan sebuah Perodua Myvi.
Mangsa, Muhammad Alexander Zulkarnain Muhammad Nur Basir disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan parah di kepala.
BACA LAGI: Bapa rayu sumbangan, lelong jam Rolex RM45,000 demi rawatan leukemia anak di Singapura
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku selepas ibu mangsa, Nurul Nadiah Mustapha Kamal, 31, dipercayai mengalami microsleep.
Menurutnya, ketika kejadian kereta yang dinaiki wanita itu bersama empat anaknya berusia sembilan, tujuh, empat termasuk mangsa dalam perjalanan dari Bukit Katil menuju ke Duyong, Melaka.
"Setiba di lokasi, kereta mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi.
"Pertembungan itu menyebabkan kesemua pemandu dan penumpang mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, setakat ini kemalangan dilaporkan berpunca akibat microsleep ketika memandu dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram