
ISU 'pak cik petai' kian menjadi bualan hangat masyarakat susulan kejadian tidak diingini menimpanya pada Khamis.
Didatangi penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Noor Saad, 67, ditegur untuk tidak meniaga di kawasan berkenaan kerana didakwa menghalang laluan.
Situasi bertambah kecoh apabila Mohd Noor mencampakkan petai dijual ke tanah selepas dipercayai gagal mengawal kemarahan.
BACA LAGI: Bapa rayu sumbangan, lelong jam Rolex RM45,000 demi rawatan leukemia anak di Singapura
BACA LAGI: [VIDEO] Tertekan minyak punya pasal, penjual burger tetap tenang walau nyaris dirempuh Hilux
Hal itu kemudiannya meraih perkongsian meluas di laman sosial dengan rata-rata warga maya melemparkan kecaman terhadap penguat kuasa yang disifatkan berat sebelah dalam menjalankan tugas.
Namun, bagi Edy Noor Reduan, insiden tersebut dinilai dari sudut berbeza yang menurutnya perlu diimbang dari kedua belah pihak.
Tampil menjelaskan isu sebenar, kronologi kejadian berlaku selepas seorang pemilik kedai berhampiran membuat laporan terhadap aktiviti jualan peniaga petai tersebut.
"Pak cik Noor dikenali warga setempat berniaga petai tapi semalam ada aduan daripada tuan kedai, mungkin dibuat kerana kedudukan motosikal pak cik Noor telah menghalang premis tuan kedai dari sudut akses ataupun pemandangan kedai.
"Bila aduan dibuat, maka hadirlah dua orang penguat kuasa MPPD ke lokasi untuk menjalankan tugas. Saya tidak tahu apa yang berlaku sehingga pak cik Noor marah campak petai.
"Mungkin ada kesilapan dari penguat kuasa ketika menjalankan tugas, ketika pakcik Noor diminta mengalihkan tempat niaga, mungkin ada tutur kata atau cara urusan yang tidak kena," ujarnya di laman Facebook pada Sabtu.
Tidak menyebelahi mana-mana pihak, kes tersebut dianggap sebagai satu pengajaran berguna buat seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya lebih mengutamakan adab dan budi bicara dalam menjalankan tugas.
"Apa pun, cara pihak penguat kuasa yang menjalankan tugas juga memerlukan adab yang tinggi serta budi bicara, lebih lagi di bulan puasa dan melibatkan orang tua, bukan MPPD saja tetapi semua PBT.
"Dalam masa yang sama, orang ramai juga perlu menghormati tugas penguat kuasa, saling toleransi, mereka hanya menjalankan tugas makan gaji mencari rezeki.
"Saya berharap agar isu itu sedikit sebanyak mampu diredakan dengan penjelasan saya sampaikan, bukan nak backup, cuma kongsi situasi sebenar kejadian," tambahnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr G Rajasekaran bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd Hamid sudah bertemu Mohd Noor Saad di kediamannya dekat Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dalam pertemuan itu, Rajasekaran turut menyampaikan sumbangan sebagai ganti rugi petai tidak terjual di samping turut bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara bagi membolehkan perniagaannya dijalankan secara sah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram