
PEMBIKINAN lagu khusus menjelang Hari Raya Aidilfitri kini menjadi perdebatan hebat dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Jika sebelum ini, terdapat segelintir selebriti dan penyanyi tanah air yang mencipta kontroversi kerana ciptaan lagu raya yang dikatakan tidak sensitif dan mencemarkan bulan Ramadan.
Namun, rakyat Malaysia kini nampaknya kembali teruja selepas mendengar lagu raya baharu yang dinyanyikan oleh pelawak dan pengacara terkenal, Douglas Lim baru-baru ini.
BACA LAGI: 'Masih nampak dada', muzik video 'ganti' Mimi Fly tetap dikecam cemarkan bulan Ramadan
BACA LAGI: [VIDEO] Tandas SK Long Jaafar siap dibaiki 2 hari lepas murid mengadu kepada PM Anwar
Lagu berjudul Aidilfitri di Malaysia itu juga menerima lebih 100,000 tontonan di YouTube.
Malah, lagu yang menceritakan tentang keharmonian pelbagai kaum di Malaysia menyambut raya itu turut menerima pujian rata-rata warga maya yang menontonnya.
Ramai yang berpandangan bahawa ia memberi nafas baharu sebenar kepada para pendengar selain tidak menyentuh sensitiviti masyarakat negara ini.
"Terima kasih Douglas, Kreatif betul boleh campur semua rentak lagu. Baju sopan, tiada perempuan berkemban. Sangat harmoni.
"Semoga negara kita kekal aman damai walaupun kita berlainan bangsa, agama dan budaya," komen PrettyUgly Hensem.
"Muzik dia harmoni, Kita dengar rasa gembira. Tambah lirik pun seronok. Terbaik Douglas dan pasukan.
"Ini baru lagu raya baharu yang 'diberi nafas baharu'," tambah Qider Firdaus.
Ada juga yang menyarankan agar Douglas dijadikan sebagai ikon perpaduan di Malaysia.
"Patut artis macam awak ni jadi duta perpaduan dalam Malaysia," saran Faizal Bin Hussin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram