Siapa sangka Shell bermula jual barang antik, Samsung import makanan antara 4 syarikat gergasi ubah jenis bisnes


  • Bizz
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Samsung yang diasaskan pada 1938 bermula sebagai sebuah perniagaan perdagangan kecil mengimport dan mengeksport barangan makanan serta bahan tekstil.

DALAM pasaran ekonomi yang sentiasa berubah, menjadi kebiasaan untuk melihat sesebuah perniagaan berevolusi bagi membolehkan mereka beradaptasi dengan keperluan semasa.

Malah, terdapat contoh yang mana menunjukkan sesebuah syarikat mencapai kejayaan global dengan perniagaan yang sama sekali berbeza berbanding ketika ia bermula.

Berikut Majoriti senaraikan beberapa syarikat gergasi global merekodkan kejayaan dengan jenis perniagaan yang sama sekali berbeza ketika ia bermula.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

1. Shell

Bermula dengan perniagaan barangan antik di London, Shell sejak 1970-an berkembang sebagai sebuah syarikat minyak global. — Shell

Syarikat Shell, yang kini dikenali sebagai salah satu syarikat tenaga terbesar di dunia, mempunyai sejarah panjang dan menarik.

Ia bermula pada 1833 apabila Marcus Samuel seorang pedagang dari London, membuka kedai menjual barangan antik dan barang perhiasan di kawasan Whitechapel di bandar raya tersebut.

Pada 1891, anak lelaki Marcus, Samuel Samuel, mengubah arah perniagaan bapanya dengan membuka syarikat dikenali sebagai Shell Transport and Trading Company di London.

Peralihan itu menandakan fasa awal penglibatan syarikat terbabit dalam perdagangan minyak mentah.

1907 menyaksikan penggabungan Shell Transport and Trading Company bersama Royal Dutch Petroleum Company yang berpusat di Belanda bagi mewujudkan Royal Dutch Shell.

Sinergi baharu itu menjadikan syarikat tersebut sebagai salah satu pemain utama dalam industri minyak global.

Pada 1970-an, Shell berkembang sebagai sebuah syarikat minyak global dan menjadi salah satu daripada 'Tujuh Gergasi Minyak' dunia bersama dengan syarikat besar lain seperti Exxon, BP, dan Chevron.

2. Samsung

Samsung hari ini bukan sahaja dikenali sebagai pengeluar elektronik dan telefon pintar, tetapipemain utama dalam industri semikonduktor. — Agensi

Samsung, sebuah syarikat gergasi global berpusat di Korea Selatan, diasaskan pada 1938 oleh Lee Byung-chul sebagai sebuah perniagaan perdagangan kecil mengimport dan mengeksport barangan makanan dan bahan tekstil.

Nama Samsung membawa maksud 'tiga bintang' dalam bahasa Korea, melambangkan impian besar syarikat untuk menjadi terbaik.

Pada 1960-an, Samsung mengembangkan operasinya ke dalam industri elektronik dengan menubuhkan Samsung Electronics pada 1969.

Pada awalnya, syarikat ini menghasilkan pelbagai produk elektronik seperti televisyen, radio, dan mesin basuh.

Namun, ia mula mendapat perhatian global apabila memasuki pasaran semikonduktor pada 1970-an dan 1980-an, iaitu teknologi utama yang memacu peranti moden pada masa kini.

Hari ini, Samsung bukan sahaja dikenali sebagai pengeluar elektronik dan telefon pintar, tetapi juga pemain utama dalam industri semikonduktor, pembekal perkhidmatan rangkaian, dan pengeluar peralatan kerperluan rumah.

3. YouTube

Tiga individu yang menjadi pengasas Youtube. — Agensi

YouTube dimulakan oleh tiga bekas pekerja syarikat teknologi pembayaran terkenal, PayPal iaitu Chad Hurley, Steve Chen, dan Jawed Karim.

Sebelum mencipta YouTube seperti yang dikenali hari ini, mereka sebenarnya memulakan projek itu sebagai aplikasi janji temu yang membolehkan orang ramai berkenalan secara dalam talian melalui video.

Mereka melihat peluang untuk menyatukan elemen multimedia dengan konsep temu janji dalam talian. Bagaimanapun, projek ini tidak berjaya seperti diharapkan.

Ia kemudiannya membawa mereka beralih kepada idea baru iaitu membina satu platform untuk berkongsi video secara umum, tanpa sebarang tumpuan khusus kepada temu janji.

Pada 14 Februari 2005, YouTube akhirnya dilancarkan sebagai laman web video sosial pertama seumpamanya.

Mereka memberi tumpuan kepada kemudahan penggunaan, membolehkan orang ramai memuat naik video dengan mudah tanpa memerlukan perisian rumit atau kemahiran teknikal.

Hari ini, YouTube salah satu platform video terbesar di dunia dengan lebih dari 2 bilion pengguna aktif setiap bulan.

Ia bukan sahaja digunakan untuk hiburan, bahkan sebagai medium pendidikan, pemasaran dan perniagaan.

4. Sony

Morita (kiri) dan Ibuka merupakan Pengasas Sony. — Sony

Sony, yang diasaskan pada 1946 oleh Akio Morita dan Masaru Ibuka sebagai Tokyo Tsushin Kogyo, bermula sebagai syarikat yang fokus pada pembangunan peralatan komunikasi dan teknologi pemprosesan isyarat.

Mereka menghasilkan produk pertama seperti penjana ultrasonic untuk perubatan dan peralatan radar untuk tentera.

Pada 1950-an, syarikat ini beralih kepada elektronik pengguna dengan memperkenalkan perekam pita dan radio transistor, yang mendapat sambutan hebat.

Pada 1958, mereka menukar nama kepada Sony, yang mencerminkan cita-cita untuk menjadi inovatif dalam dunia elektronik.

Pada 1980-an, Sony memperluaskan perniagaannya ke sektor hiburan dengan membeli Columbia Pictures dan melancarkan PlayStation pada 1994, yang menjadikannya pemain utama dalam industri permainan video.

Hari ini, Sony adalah syarikat global terlibat dalam sektor elektronik, hiburan, permainan video, dan semikonduktor, dengan produk terkenal seperti telefon pintar, kamera, dan konsol permainan.

Kejayaan Sony berakar pada inovasi dan penyesuaian dengan perubahan teknologi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram