
DALAM dunia bola sepak moden, gaya keraian gol semakin menjadi tumpuan dengan pemain mengikut trend semasa samada gerakan viral atau isyarat khas akan dilakukan bagi meraikan kejayaan di atas padang.
Mengikut gaya trend bukan sahaja menambah elemen hiburan dalam perlawanan tetapi juga mengukuhkan jenama peribadi pemain susulan ia akan dilihat sebagai trademark seseorang bintang bola sepak.
Di Malaysia, pemain bola sepak tempatan turut tidak ketinggalan dalam mengadaptasi gaya keraian ini dengan neberapa pemain Liga Super Malaysia dilihat meniru gaya tarian TikTok atau mengangkat simbol tertentu sebagai tanda penghargaan kepada penyokong mereka.
BACA LAGI: Ketiadaan Arif Aiman boleh diterima tapi ramai persoal mana Natxo Insa?
BACA LAGI: ‘Tiada kelibat AA42’, Arif Aiman tak sertai aksi di Stadium Bandaraya?
Selain menceriakan suasana stadium, trend itu juga meningkatkan interaksi antara pemain dan peminat di media sosial kerana ramai penyokong meniru gaya keraian mereka, menjadikannya lebih daripada sekadar sambutan di padang, tetapi juga fenomena budaya yang meluas.
Dengan evolusi bola sepak yang semakin dinamik, trend keraian dijangka terus berkembang, mencerminkan perubahan budaya dan kreativiti pemain dalam meraikan detik-detik kejayaan mereka.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang tidak ketinggalan mengikuti trend semasa samada meniru idola bola sepak mereka atau melakukan tarian viral TikTok untuk meraikan gol;
1) Jordan Mintah (Wadidaw)
Platform media sosial, TikTok sering menghidangkan tarian-tarian menarik yang akhirnya akan menjadi ikutan rata-ratanya penggunanya termasuk mempengaruh pemain bola sepak untuk membuatkan sebagai gaya meraikan gol.
Seperti dilakukan baru-baru ini oleh penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah yang melakukan tarian viral TikTok iaitu Wadidaw sebagai simbolik meraikan jaringan gol ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 12 Mac lepas.
Jaringan Mintah pada perlawanan itu menambah jumlah gol pemain kelahiran Ghana itu. Setakat ini, Mintah sudah menjaringkan 13 gol dan dua bantuan jaringan dalam 26 aksi dia diturunkan.
'Wadidaw' ialah sebuah tarian yang telah menjadi viral di platform media sosial seperti TikTok dan Facebook. Ia melibatkan gerakan bertenaga dan sering diiringi oleh lagu dengan frasa 'wadidaw' yang catchy.
2) Arif Aiman Hanapi (Gaya Marcus Rashford)
Pemain muda sensasi, Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi pernah mencuri tumpuan apabila meraikan jaringannya dengan gaya ikonik bintang Manchester United, Marcus Rashford pada musim 2023.
Pada musim itu, Arif Aiman dilihat meletakkan jari telunjuk ke pelipis sebagai tanda keraian yang sinonim dengan Rashford. Gaya tersebut sebelum ini sering dikaitkan dengan ketahanan mental dan fokus, yang menjadi simbol kebangkitan Rashford dalam kariernya.
Tahun 2023 juga merupakan musim terbaik Arif Aiman apabila menjaringkan 12 gol dalam saingan Liga Super dan merekodkan 13 bantuan jaringan dalam membantu Harimau Selatan mengekalkan takhta Liga Super mereka.
Walaupun musim ini, pemain berusia 22 tahun berkenaan sudah tidak membuat cara keraian Rashford namun ia tetap menjadi salah satu gaya yang dirindui penyokong bola sepak tanah air.
3) Faisal Halim (Siuu)
Bintang bola sepak terkenal seperti Cristiano Ronaldo dengan keraian 'Siuu' telah mencetuskan fenomena global. Dari pemain bola sepak sehingga ke bintang tenis dunia, Nick Kyrgios juga tidak ketinggalan meniru gayanya.
Pemain tempatan juga tidak melepaskan peluang menggayakan laungan 'Siuu' dengan menyaksikan penyerang sayap Selangor FC, Faisal Halim sudah menjadikannya sebagai gaya keraian gol wajibnya.
Gaya yang sudah sinonim juga dengan pemain kebangsaan itu itu pernah menjadi bahan provokasi oleh legenda Selangor, Amri Yahyah apabila dia melakukanya di hadapan Faisal pada musim 2023.
Selepas Sabah menewaskan Selangor 2-1 di Likas, Kota Kinabalu, Sabah, Amri dilihat meraikan kemenangan The Rhinos dengan melakukan gaya sedemikian di bangku simpanan kelabnya. Walaupun ia tidak ditujukan secara terus kepada para pemain Selangor, niat untuk melakukan provokasi jelas sekali boleh dihidu dari perbuatannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram