'Cantiknya...macam Pinterest', mahligai Bonda Rozita di tengah rimba buat ramai terpukau


  • Relaks
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Akui Rozita, sudah menjadi impiannya untuk mendirikan rumah kecil di puncak hutan yang jauh daripada orang ramai. — Rozita Ibrahim

TERLETAK di tengah-tengah rimba, kediaman usahawan, Rozita Ibrahim mencuri perhatian ramai dengan keindahan dan ketenangan yang ditawarkan.

Kediaman dikelilingi alam semula jadi itu menjadi satu-satunya rumah yang dibina di puncak gunung.

Selain keindahan luaran, rumah terletak di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor itu juga mempunyai pelbagai ruang dalaman yang direka dengan teliti, mencipta suasana mendamaikan jiwa.

BACA LAGI: Konsep minimalis, postmodernism inspirasi kediaman bujang, cipta ruang kemas dan praktikal

BACA LAGI: Saya menangis dikecam, bonda merajuk tak angkat fon — Aliff Syukri

Dari kejauhan rumah Rozita kelihatan seperti istana persendirian di tengah-tengah alam semula jadi. — Rozita Ibrahim

Berkongsi beberapa foto memaparkan suasana di dalam dan luar rumah, Pengasas Jamu Ratu Malaya itu meluahkan rasa syukur kerana pada usia 61 tahun, beliau akhirnya dapat merasai pengalaman memiliki rumah dibina penuh dengan usaha dan impian sendiri.

"Dah tua begini baru merasa rumah yang dibina sendiri. Dari kejauhan kelihatan rumah seorang bonda di tengah rimba. Rasa bahagia bukan tergantung pada keadaan, tetapi diatur daripada sikap mental kita sendiri.

"Nak kuat tidak mudah, besar status besar juga masalahnya. Kekuatan bukan datang daripada kita. Minta kekuatan daripada ALLAH SWT yang bantu mengurusnya (kerana) manusia lemah," tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Akui Rozita atau juga dikenali sebagai Bonda Rozita, sudah menjadi impiannya untuk mendirikan rumah kecil di puncak hutan yang jauh daripada orang ramai.

Perabot rona neutral seperti putih krim dan beige menyerlahkan dekorasi dalaman yang elegan. — Rozita Ibrahim

Menerusi perkongsian gambar tersebut, kediaman dihiasi dengan reka bentuk seni bina itu cukup memukau mata yang melihat.

Dari kejauhan, ia kelihatan seperti sebuah istana persendirian di tengah-tengah alam semula jadi.

Rumah tersebut bukan sahaja menampilkan elemen keindahan alam sekeliling, bahkan direka dengan gaya moden mewah menggabungkan elemen klasik dan kontemporari.

Malah perabot dalam rona neutral seperti putih krim dan beige menyerlahkan lagi dekorasi elegan, manakala pencahayaan lembut daripada lampu gantung moden menambahkan kehangatan suasana.

Dalam pada itu, ibu kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri tersebut turut mengingatkan pengikut laman sosialnya agar tetap kuat menghadapi segala ujian hidup dan tidak mudah berputus asa, walaupun berdepan kegagalan.

Rumah tersebut turut menampilkan elemen keindahan alam sekeliling. — Rozita Ibrahim

Tambah beliau, kebiasaannya manusia lebih mudah bersyukur atas kejayaan, namun lebih luar biasa adalah apabila seseorang dapat bersyukur atas kegagalan dilaluinya.

Dalam pesannya, beliau turut mengajak orang ramai untuk bersabar dan ikhlas dalam setiap situasi hidup, terutamanya ketika berdepan masalah.

"Orang yang sabar dan ikhlas akan menelusuri setiap relung masalah untuk mencari segala bentuk hikmah sebagai bahan refleksi dan penilaian kepada diri.

"Belajarlah merasakan dan memahami tentang indahnya berbuat baik, walaupun orang tersebut berbuat buruk dengan kita," titipnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram