Ilham corak topografi hasilkan meja ukiran kayu berseni, premium dan ergonomik karya kreatif pereka perabot tempatan


  • Relaks
  • Sabtu, 15 Mac 2025

Empat jenis perabot yang direka oleh pereka tempatan dengan rupa bentuk yang menarik dan penuh estetika.

REKA bentuk perabot yang memiliki elemen estetika memainkan peranan penting kerana mampu menghidupkan suasana eksklusif dan mewah.

Hari ini tidak perlu lagi menempah atau mengimport perabot dari luar negara kerana jenama tempatan Malaysia kini sudah banyak mengeluarkan produk berkualiti dan premium.

Majoriti kongsikan empat jenis perabot yang direka oleh pereka tempatan dalam rupa bentuk menarik, sarat estetika dan mempunyai ceritera tersendiri.

BACA LAGI: Siapa sangka bermula dari projek kaji habitat tuntung, Chen buka peluang wanita di kampung Kemaman jana pendapatan

BACA LAGI: [VIDEO] Puteri sulung jadi wajah kempen raya, Marion tak paksa anak ikut jejak langkah

Meja Contourscape yang direka oleh Ar. Esmonde Yap Shi Wen, keluaran Dynamic Furniture Industries (M) Sdn. Bhd.

Meja Contourscape

Mengambil inspirasi dari pemandangan gunung-gunang yang memukau di Malaysia, meja Contourscape mengubah topografi semula jadi rupa meja menjadi sebuah karya seni ukiran kayu.

Direka menggunakan teknologi reka bentuk parametrik, setiap rusuk dan sudut perabot dihasilkan dengan tepat untuk aliran yang lancar dan organik.

Ia bagi menunjukkan keharmonian antara kemahiran digital moden dan teknik pertukangan kayu tradisional. Permainan cahaya dan bayang-bayang menambah lagi daya estetika yang mendalam.

Meja tersebut bukan sahaja melambangkan wajah keindahan semula jadi Malaysia, tetapi juga menonjolkan kemahiran pengeluar dan pembina kayu tempatan.

Pereka Ar. Esmonde Yap, seorang arkitek telah memenangi pelbagai anugerah dan merupakan salah seorang Ahli Majlis Institut Arkitek Malaysia.

Hasil seni tangan beliau dikenali kerana pendekatan reka bentuk inovatif yang begitu menonjol menjadi perhatian dalam kalangan komuniti dan warisan budaya.

Dynamic Furniture Industries (M) Sdn. Bhd., adalah pengeluar dan pengedar utama perabot berkualiti tinggi di Malaysia. Mengkhusus dalam sofa kulit dan fabrik, kerusi berlengan, kerusi makan, dan tilam.

Syarikat tersebut melayani pelanggan dari sektor kediaman dan komersial, termasuk hotel, restoran dan bangunan kerajaan.

Meja Halo Console yang direka oleh Foo Chai Yuk (Ray Foo), keluaran oleh Gio-Luzini Sdn. Bhd.

Meja Halo Console

Meja berkenaan adalah gabungan halus antara kayu, logam dan kaca tahan panas membawa keanggunan moden ke ruang dapur dan ruang tamu.

Bentuknya yang ramping mengimbangi kehangatan dan kepadatan kayu pepejal dengan. Nampak tengkas dan tegap, ideal diletakkan sebagai hiasan ruang dalaman kontemporari.

Ray Foo individu di sebalik rekaan meja berkenaan merupakan pereka industri khusus kepada rekaan dalaman di bawah kategori ruang runcit.

Beliau memiliki kepakaran dalam menghubungkan fungsi dan estetik. Ini termasuk mencipta persekitaran yang dapat meningkatkan pengalaman pengguna sambil memenuhi keperluan praktikal.

Gio-Luzini Sdn. Bhd. pula adalah pengeluar, pengeksport, dan peruncit sejak 1991. Syarikat itu telah mengambil langkah untuk memulihkan dan membina semula rumah kayu kampung Melayu tradisional bagi memelihara warisan budaya Malaysia.

Pawfect Harmony yang direka oleh Ar. Howie Lam Chee Hau, keluaran Ah Hai Industries Sdn Bhd.

Pawfect Harmony

Mentakrifkan semula reka bentuk perabot dengan menggabungkan fungsi moden bersama ciri mesra haiwan peliharaan.

Koleksi menarik dan mesra alam itu diperbuat daripada kayu karbon termasuk barang inovatif seperti meja kopi rendah bulat digabungkan bersama elemen fungsi rumah kucing, meja kopi dua tingkat, kerusi bar mesra kucing, dan rak tinggi lima tingkat.

Setiap barang menggabungkan estetik bergaya dengan utiliti praktikal menawarkan gabungan harmoni reka bentuk moden seiring dengan penjagaan haiwan peliharaan yang teliti.

Ketua Reka Bentuk Dalaman di TKCA Architects, Ar. Howie Lam, khusus dalam seni bina dan reka bentuk perabot dengan fokus kepada kelestarian.

Beliau baru-baru ini mengetuai projek bungalow yang mendapat Sijil Platinum GreenRE pada 2024.

Ditubuhkan pada 1967, Ah Hai Industries Sdn. Bhd., adalah salah satu pengeluar produk kayu terkemuka di negeri Johor, Malaysia. Mereka mengkhususkan produk inovatif, profil acuan, kerja pertukangan dan pelamin.

Acaso Desk yang direka oleh Ar. Ts. IDr Rien Tan Kwon Chong, keluaran Weng Meng Industries Sdn. Bhd.

Acaso Desk

Minimalis dan bersinar, meja Acaso diperbuat daripada kayu kelapa sawit LC+ yang padat mentakrifkan semula sisa pertanian digunakan menjadi ruang kerja tamak mewah serta elegan.

Dengan ciri ergonomik dan lebar yang boleh dilaraskan, ia sangat sesuai dan wajah ruang kerja akan menampakkan kelestarian dengan kegunaan batang kelapa sawit.

Setiap perincian, dari bahagian tepi bersudut hingga siluet yang halus, ia mempamerkan keseimbangan sempurna antara bentuk dan fungsi meja tersebut. Ar. Ts. IDr Rien Tan ialah Pengarah TKCA Architects S/B.

Beliau merupakan arkitek terkenal dengan pengalaman antarabangsa dalam reka bentuk kediaman dan pejabat.

Pada masa sama, pernah merangkul pelbagai anugerah berprestij untuk projek-projek inovatif termasuk Anugerah UIA 2030 (Matlamat SDG 11), Anugerah Reka Bentuk Seoul 2024, Anugerah Reka Bentuk Pin Emas Taiwan 2024 dan banyak lagi.

Ditubuhkan pada 1979, Weng Meng Industries Sdn. Bhd., mengkhusus dalam pintu dalaman kayu berkualiti tinggi dan premium di bawah jenama Sandor.

Menawarkan penyelesaian tahan api dan akustik, Sandor ialah OEM dan ODM yang dipercayai untuk pasaran global, mengeksport lebih 8 juta pintu ke seluruh dunia termasuk Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram