SEJAK beberapa hari lalu, muncul beberapa klip lagu raya terbaharu dendangan Aliff Syukri yang berjudul Kelapak Kelepuk Raya.
Walaupun hanya sedutan video klip dan sebahagian lagu yang diperdengarkan, itu sudah cukup untuk mengundang reaksi negatif netizen.
Ramai yang menegur aksi tiga penari lelaki yang meliuk lentuk menarik dengan memakai songkok di dalam sedutan video klip tersebut.
Malah, bukan netizen sahaja, ibu kepada Aliff, Bonda Rozita Ibrahim turut meninggalkan komen berbaur teguran terhadap lagu raya baharu dan gaya tiga penari lelaki yang ada dalam sedutan video klip itu.
Tangkap layar komen yang ditinggalkan ibu Aliff Syukri di Instagram.
Menurut Aliff, disebabkan komen-komen negatif terhadap karya baharunya itu membuatkan dia menangis dan berlaku sedikit konflik melibatkan dirinya dan keluarga.
"Sejujurnya memang ada konflik dengan keluarga sedikit. Mak saya pada mulanya okay, tapi bila dah ramai yang provoke dia, bila ramai yang kecam, dia rasa terganggu tambahan pula dia nak pergi umrah.
"Saya tak kisah dengan kecaman sebab saya dah biasa. Tapi, tak perlulah sibuk nak kaitkan dengan ibu saya, hantar mesej kepada dia dan sebagainya yang akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Saya sedih sebab saya tak tahu apa nak buat dan apa salah saya. Ramai yang marah saya tetapi libatkan keluarga saya. Macam budak sekolah," katanya kepada Majoriti.
Aliff Syukri mengakui sedih bila keluarganya turut menjadi bahan kecaman netizen.
Menurut Aliff lagi, dia ada menghubungi ibunya tetapi tidak berjawab, mungkin kerana malu dengan apa yang berlaku.
Dalam pada itu, usahawan kosmetik itu berkata, apa yang disiarkan itu hanyalah sedutan sahaja dan bukannya produk akhir lagu tersebut.
"Ramai yang kecam tapi video klip penuh belum keluar lagi. Saya ni bukan penyanyi dan benda ini tak keluar televisyen pun.
"Saya cuma buat apa yang saya suka dan sebab itu saya tak rasa bersalah. Soal penari berjoget itu sebenarnya bukan atas paksaan saya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram