Rahsia istiqamah solat tarawih, sematkan dalam hati ini mungkin Ramadan terakhir


  • Mukmin
  • Rabu, 19 Mac 2025

Solat tarawih ialah solat disyariatkan pada setiap malam pada bulan Ramadan. — Gambar hiasan

RAMADAN tahun lalu, kita dikejutkan dengan berita penganjuran solat sunat tarawih dipercayai paling panjang iaitu selama lapan jam.

Solat tarawih tersebut berlangsung di Masjid Agung Al-Fatah yang terletak di kompleks sekolah pondok Al Fatah di Magetan, wilayah Jawa Timur, Jakarta, Indonesia.

Jemaah masjid tersebut menghabiskan kesemua 30 juzuk bacaan al-Quran dalam satu malam.

BACA LAGI: Tip mudah khatam, umat Islam disunatkan memperbanyakkan baca al-Quran bulan Ramadan kerana fadilatnya

BACA LAGI: Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama

Bagaimanapun, pelaksanaan solat itu yang bermula dari pukul 7 petang (waktu tempatan) dan berakhir sekitar pukul 3 pagi sudah menjadi rutin setiap kali Ramadan. 

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Dr. Muhamad Hafiz Haneefa, melakukan solat tarawih yang panjang bukanlah sesuatu yang pelik, sebaliknya ia adalah kelaziman terutama bagi masyarakat Arab.

Menceritakan pengalaman beliau ketika di Mesir, imam solat tarawih menghabiskan satu juzuk untuk satu rakaat. 

“Bayangkan dua juzuk untuk dua rakaat, jadi ia ambil masa yang sangat panjang sekitar dua jam setengah, disebabkan ia satu perkara baharu, saya kemudian hanya solat dua rakaat di masjid dan selebihnya saya sambung di rumah,” katanya dalam satu perkongsian.

Menurut beliau, pada 23 Ramadan Nabi Muhammad SAW akan mendirikan solat sunat hingga menjangkau ke separuh malam iaitu sekitar tiga jam tanpa henti, pada 25 Ramadan hingga pukul 3 pagi manakala pada 27 Ramadan tarawih Baginda hampir menjelang Subuh.

Umat Islam perlu yakin dengan keajaiban doa.

“Ini menunjukkan Nabi Muhammad SAW menunjukkan satu teladan bahawa supaya beramal dengan penuh kesungguhan baik dari awal, pertengahan dan akhir Ramadan.

“Qiamullail pada Ramadan berbeza dengan bulan- bulan lain, ia bermula dari Isyak dan diteruskan menjelang ke tengah malam dan dinihari, jika kita tidak tidur pun tidak mengapa,’’ jelas beliau.

Penulis buku Q&A Puasa & Hari Raya, Ahmad Adnan Fadzil mendefinisikan solat tarawih ialah solat malam yang disyariatkan pada setiap malam pada bulan Ramadan. Solat tarawih berasal daripada kalimah bahasa Arab, al-rahah yang membawa maksud rehat. Pada peringkat awal, umat Islam melakukannya secara berjemaah dan berehat setiap selepas dua salam atau selepas empat rakaat.

Para ulama bersepakat bahawa hukum solat sunat tarawih adalah sunat. Nabi Muhammad SAW bersabda daripada Abu Hurairah rahimahumullah yang bermaksud,”Sesiapa yang melakukan qiam Ramadan kerana keimanannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya akan diampunkan dosanya yang lalu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. 

Menelusuri sejarah solat tarawih, pada zaman Rasulullah SAW, solat ini dilakukan secara sendirian sama ada di rumah mahupun di masjid. Keadaan ini berterusan sehinggalah Baginda wafat dan berlanjutan hingga zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar. 

Namun, semasa pemerintahan Khalifah Umar senario solat tarawih ini mengalami perubahan.

Beliau telah menghimpunkan orang ramai untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan diimamkan oleh Ubay bin Kaab RA. 

Mengulas kekhilafan bilangan rakat tarawih yang lebih afdal lapan atau 20 rakaat, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berselisih pandangan.

“Tiada hadis yang menyebut dengan jelas jumlah rakaat solat tarawih, bagaimanapun pada zaman sahabat, Saidina Umar RA melihat orang ramai melakukan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Lalu, ia diterima oleh semua sahabat dan tiada bantahan. Itulah hujah yang paling kuat, “ jelas pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

Bagaimanapun katanya, sebahagian ulama hadis berfatwa dengan lapan rakaat, manakala sebahagian lain 20 rakaat. Kedua-duanya boleh digunapakai. 

Menurut beliau, dalam empat mazhab iaitu Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Hanbali dan Imam Maliki  kesemuanya berpegang kepada 20 rakaat. Namun, Imam Maliki memfatwakan sunat kepada mereka yang tinggal Madinah sebanyak 36 rakaat kerana penduduk di Makkah akan melazimi tawaf setiap kali selesai empat rakaat solat.

“Tawaf tidak dapat dilakukan di Madinah kerana tiada Kaabah. Setiap satu tawaf di Makkah digantikan dengan empat rakaat, jadi empat kali tawaf bersamaan 16 ditambah 20 rakaat, maka jumlah keseluruhan adalah 36 rakaat,” ujarnya.

Solat tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut dan boleh dilakukan secara sendirian atau berjemaah, namun masih ramai yang mengambil mudah tentang amalan ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan solat tarawih kerana ibadah ini hadir setahun sekali saja lebih-lebih lagi menjelang 10 malam akhir Ramadan.

“Walaupun kita sibuk bekerja sekali pun, jika tidak sempat solat berjemaah di masjid, maka usahakanlah mengerjakannya di rumah supaya tidak luput pahala tersebut.

“Jika keletihan tidak boleh berdiri, boleh solat duduk, jika tidak boleh duduk, boleh berbaring,” ujar beliau.

Antara kelebihan lain solat tarawih secara berjemaah, ia adalah antara platform mudah untuk seseorang memperoleh pahala umpama solat sepanjang malam. 

Ini dijelaskan melalui hadis Rasullah SAW. Daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga imam selesai, dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. Riwayat al-Tirmizi, no. hadis 734.

Memilih sahabat yang soleh adalah antara tip untuk istiqamah solat tarawih.

Merujuk kepada hadis ini, maksud ‘solat bersama imam sampai ia selesai’, jelas menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunah Nabi SAW adalah umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat tarawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir.

Persoalannya, bagaimana untuk seseorang bermotivasi atau istiqamah menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan tanpa luput walau sekali? Mengambil analogi mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah, jika dilihat pada tahap kesihatan, prosedur yang ketat, kelayakan dan sebagainya, sebahagian besar jemaah pasti akan berputus asa kerana banyaknya halangan. Namun, mereka  tetap berjaya melakukannya.

Justeru, Timbalan Mufti Pahang, Ustaz Datuk Badli Shah Alauddin menjelaskan, kesemua kesukaran atau halangan sebenarnya dapat diatasi dengan kuasa doa.

“Kita kena yakin dengan keajaiban doa. Jangan sesekali meremehkan kuasa doa. “Bacalah rabbi yassir wala tu’ asir berulang-ulang jika kita sudah mula hilang kekuatan atau berdepan ujian sifat malas untuk mendirikan solat tarawih,” jelas beliau.

Katanya, salah satu rahsia sesetengah individu kekal meneruskan solat tarawih sebanyak 20 rakaat adalah kerana mereka ‘seronok’ dengan al-Quran apatah lagi mendengar alunan ayat-ayatnya dalam solat.

Antara tip untuk istiqamah solat tarawih:

  1. Berdoa - meminta kepada ALLAH dengan untuk istiqamah sepanjang Ramadan seperti membaca rabbi yassir wala tuassir
  2. Memilih sahabat yang soleh 
  3. Bersungguh-sungguh mahu menghidupkan Ramadan
  4. Berazam sepenuh hati 
  5. Sematkan dalam hati ini mungkin Ramadan terakhir — Majoriti

    Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram