
MANTAN Mufti Wilayah Persekutuan ke-7, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah berkongsi kisah sepasang suami isteri yang juga peniaga nasi lemak.
Kata beliau, seperti kebiasaan, kedua-duanya bangkit seawal pagi dan memasak dua periuk besar nasi lemak sekitar pukul 4 pagi.
Usai memasak sekitar pukul 6 pagi dan meletakkan barang jualan di dalam kenderaan, mereka bersiap-siap untuk menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan.
BACA LAGI: Melaka benarkan solat tarawih berjemaah di masjid, surau
Mereka memulakan perniagaan sekitar pukul 6.30 pagi. Dalam tempoh satu jam, nasi lemak mereka habis terjual.
Kebetulan, pada hari tersebut mereka juga mendapat tempahan 100 bungkus nasi lemak untuk program kuliah Subuh anjuran masjid.
Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke pasar membeli bahan mentah untuk jualan keesokan hari.
Pukul 9 pagi mereka menikmati sarapan pagi dan menunaikan solat duha lalu berehat.
Pada tengah hari, usai menikmati makan tengah hari mereka melazimi menunaikan solat Zuhur, Asar, Maghib dan Isyak secara berjemaah di masjid.
Kata Pengasas Pondok Moden al-‘Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu, jika diperhalusi, tempoh mereka bekerja hanyalah empat jam, namun mereka kekal istiqamah dalam menunaikan perintah ALLAH.
Mereka katanya, dapat menunaikan solat fardu berjemaah, menunaikan umrah dua kali setahun, pemurah dan rajin bersedekah serta mempunyai hubungan baik dengan orang sekeliling.
Seseorang akan mendapat keberkatan usia, ketenangan dan kebahagiaan melalui solat jemaah.
Iktibar yang dipelajari daripada kisah ini adalah mereka memperoleh keberkatan masa.
Mereka dapat melakukan banyak perkara dalam waktu singkat tetapi penuh dengan hal-hal kebaikan.
"Berkat adalah kebaikan yang banyak. Keberkatan ada pada masa, tempat, individu, urusan kehidupan dan makanan.
"Kita seharusnya memanfaatkan masa seperti yang dianjurkan Nabi SAW. Kejayaan sebenar seseorang adalah apabila dapat memanfaatkan waktu pagi dengan sebaik-baiknya mengikut perancangan," ujar Zulkifli.
Bahkan, Rasulullah SAW sendiri mendoakan umatnya keberkatan pada setiap waktu pagi. Doa Baginda yang bermaksud;
"Ya ALLAH, berkatilah umatku pada pagi harinya." (Hadis Riwayat Abu Daud: 2606). Selain keberkatan pada masa, ada beberapa lagi perkara yang mempunyai barakah iaitu:
Lokasi
Seseorang boleh mendatangi tempat diberkati seperti Masjid al-Aqsa, di Baitulmaqdis, Masjidilharam di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah atau di negara ini di mana-mana masjid.
Individu
Kita digalakkan memberi salam baik kepada orang yang dikenali atau tidak. Mengapa? Melalui salam ini ada keberkatan. Jika kita mendapat khabar atau menghadiri majlis perkahwinan, kita disarankan untuk mendoakan pasangan mempelai kerana di situ ada keberkatan.
Pekerjaan
Sesuatu pekerjaan itu dianggap berkat jika cukup untuk menafkahi kehidupan seseorang meskipun jumlah pendapatan diterima dianggap kecil pada pandangan orang lain.
Sementara itu, Timbalan Mufti Pahang, Ustaz Datuk Badli Shah Alauddin menjelaskan, keberkatan adalah sesuatu yang perlu dicari.
Bagaimanapun, umat Islam diingatkan supaya tidak mencari keberkatan yang melanggar syarie seperti bersifat tahyul, lalu merosakkan akidah.
“Antaranya mempercayai kononnya ibu duit, loket dan batu cincin mempunyai azimat dan keberkatan. Kepercayaan seperti ini terlalu banyak dalam kalangan masyarakat kita,’’ tegas beliau.
Sesuatu pekerjaan dianggap berkat jika cukup untuk menafkahi kehidupan seseorang.
Sedangkan, jelas beliau pada zaman Nabi SAW ada banyak perkara pelik yang berlaku antaranya batu yang boleh memberi salam setiap kali Nabi SAW melewati laluan tersebut, batang pokok kurma dan sebagainya. Namun, semua itu tidak menggoyahkan akidah para sahabat.
Justeru katanya, Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan kerana di dalamnya terdapat lailatulqadar, al-Quran diturunkan, hari Jumaat, satu pertiga malam dan waktu sahur serta berbuka adalah masa yang barakah.
“Dengan erti kata lain, sepanjang Ramadan 24 jam adalah masa dan hari yang barakah,’’ ujarnya.
Beliau turut menggariskan keberkatan boleh diperoleh melalui beberapa perkara lain antaranya termasuklah:
Anggota tubuh
Keberkatan anggota ini diperoleh melalui menuntut ilmu dengan syarat sesuatu majlis ilmu itu ada ada menyebut hadis dan al-Quran.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka ALLAH SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah ALLAH, membaca kitab ALLAH (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta ALLAH SWT akan menyebut mereka kepada malaikat yang berada di sisi-Nya”. (Riwayat Muslim (4867)
Solat berjemaah
Seseorang akan mendapat keberkatan usia, ketenangan dan kebahagiaan melalui solat jemaah.
Bersedekah
Sedekah terbaik adalah pada bulan Ramadan kerana ALLAH menjanjikan ganjaran berlipat ganda.
Makan secara berjemaah
Makan berjemaah dengan sebut nama ALLAH akan memperoleh keberkatan, makan sedikit tetapi rasa kenyang. Sebaiknya makan dari tepi hidangan kerana keberkatan dalam makanan itu terdapat di tengah-tengah makanan.
Bersahur
Melalui bersahur, seseorang itu memperoleh keberkatan kerana bangun awal pagi, beristigfar, berdoa, menunaikan solat Subuh dan membaca al-Quran.
Bersahur menjadi motivasi kita untuk berpuasa kerana mengikut sunah Nabi SAW.
Satu hadis yang menceritakan fadilat sahur ini seperti yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” Riwayat al-Bukhari (1923) dan Muslim (45)
Bersahur menjadi motivasi kita untuk berpuasa kerana mengikut sunah Nabi SAW.
Jamu orang berbuka puasa
Nabi SAW menjelaskan berkenaan keutamaan sedekah memberi makan kepada yang berpuasa. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Salam, ketika Nabi SAW sampai ke kota Madinah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai orang ramai, sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah pada waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat.”
Tidak meninggalkan al-Quran
Baca, faham dan khatam al-Quran akan memberi keberkatan kepada pembacanya.
Halaqah ilmu selama 10 minit
Membaca hadis 40 sebelum berbuka puasa puasa bersama keluarga dapat memelihara masa dan waktu solat.
Pada makanan tertentu juga terdapat keberkatan. Meskipun ada makanan yang tidak kita sukai, tetapi untuk memperoleh keberkatan sebaiknya makanan tersebut harus ada di rumah. Antaranya termasuklah:
Minyak zaitun
Terdapat satu hadis yang membuktikan bahawa minyak zaitun adalah makanan yang barakah. Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud;“Makanlah minyak zaitun dan berminyaklah dengannya. Minyak zaitun berasal daripada pohon yang diberkati.” Riwayat al-Tirmizi (1851)
Susu
Antara sunah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah:
a. Mencampurkannya dengan air
b. Membaca doa selepas minum susu. Doa tersebut adalah doa khusus iaitu Allaahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu.
c. Berkumur-kumur selepas minum susu
Hal ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang ALLAH beri makan, hendaklah dia berdoa, Allaahumma baarik lanaa fiihi wa ath'imnaa khoiron minhu'. Barang siapa yang ALLAH beri minum susu, maka hendaknya ia berdoa, Allaahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu. Rasulullah SAW bersabda, 'Tidak ada sesuatu yang bisa menggantikan makan dan minum selain susu.'" (Hadis Riwayat Tirmidzi No. 3455, Abu Daud No. 3730, Ibnu Majah No. 3322)
Habbatussauda’
Nabi SAW bersabda yang bermaksud; Sesungguhnya habbatussauda’ adalah penawar bagi segala penyakit, melainkan al-Saam. Aku bertanya: Apakah al-Saam itu? Baginda menjawab: “Kematian”. Hadis Riwayat al-Bukhari (5687)
Rasulullah SAW begitu menyukai makan kurma.
Kurma
Rasulullah SAW begitu menyukai makan kurma. Sebaik-baik kurma adalah kurma ajwah.
Saiyidina A’ishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis Sahih Muslim, 5078).
5 jenis buah syurga
Lima buah-buahan ini disebut dalam al-Quran, jadi sewajarnya setiap rumah mempunyai buah-buah ini iaitu buah tin, buah zaitun, pisang, anggur dan buah delima.
Pokok bidara
Tumbuhan ini diulang empat kali dalam al-Quran, ia merupakan tumbuhan dari syurga. Pokok bidara ini banyak kegunaan iaitu daunnya digunakan untuk memandikan jenazah, wanita yang mandi hadas dan merawat sihir.
Terdapat 5 yang ALLAH kurniakan kepada umat Muhammad SAW pada Ramadan:
a. Bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi ALLAH.
b. Malaikat mohon pengampunan dosa.
c. Syurga akan dihiasi untuk menarik hamba-hamba yang taat.
d. Syaitan-syaitan ditambat.
e. Pada akhir Ramadan ALLAH ampunkan hamba-hamba yang terpilih daripada azab api neraka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram