Pak Nil akui 'cemburu' kejayaan Nora Danish


  • Hiburan
  • Jumaat, 25 Mac 2022

PAK Nil mengaji menggunakan al-Quran digital dan berguru dengan seorang ustaz yang dikenali di Bigo. — Instagram

SELEBRITI serba boleh, Datuk Aznil Haji Nawawi mengakui bahawa dia cemburu dengan kejayaan pelakon, Nora Danish yang khatam al-Quran pada 10 malam terakhir Ramadan tahun 2020 lalu dan menjadikan ia sebagai pemangkin semangat untuk melakukan perkara sama.

Menurut beliau yang mesra disapa Pak Nil, ketika mengetahui tentang perkara itu menerusi media sosial, dia terus mendapatkan al-Quran digital seperti yang digunakan Nora dan memulakan perjalanan untuk istiqamah dan memperbaiki bacaanya.

"Ada hikmah apabila orang berkongsi benda yang baik dalam sosial media, ia bukan riak tetapi memberi inspirasi untuk kita melakukan perkara yang sama sekali gus memperbaiki diri ke arah yang lebih positif.

"Selepas saya tengok Nora dapat khatam al-Quran semasa bulan Ramadan saya jadi cemburu dan ia merupakan cemburu yang positif kerana saya mahu juga khatam al-Quran dalam bulan yang mulia," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, dalam perjalanan untuk istiqamah membaca kalam Allah itu, dia banyak berpandukan kepada al-Quran digital dan guru mengaji, Allahyarham Ustaz Nik Azizan yang dikenali menerusi aplikasi sosial Bigo.

Katanya lagi, memasuki tahun ketiga (pandemik Covid-19) dia kini sudah semakin lancar membaca al-Quran, malah sudah lima atau enam kali khatam membaca kalam Allah sepanjang tempoh berkenaan.

"Saya baca al-Quran bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi berterusan, ada ketikanya saya akan buat live dan pengikut akan membantu membetulkan kesilapan dalam bacaan saya.

"Tiada niat untuk saya menunjuk-nunjuk tetapi saya mahu terus menambah ilmu dan memperbaiki bacaan supaya menjadi lebih baik dan pada masa sama mendoakan agar ia dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk membaca al-Quran walau sesibuk mana pun hari yang kita lalui," ujarnya.

Kongsinya lagi, menjelang bulan Ramadan akan datang, Pak Nil mahu cuba katam al-Quran sekali lagi meskipun bakal sibuk dengan pelbagai aktiviti seni dan perniagaan.

"Saya akan cuba seimbangkan dunia dan akhirat dan mengejar keindahan bulan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram