Tempahan Airbnb Malaysia meningkat 30 peratus separuh pertama 2024


  • Bizz
  • Selasa, 19 Nov 2024

Sesi meja bulat mengenai topik 'Memacu Pertumbuhan Pelancongan Malaysia: Perbincangan Meja Bulat Bersama Airbnb dan Pemain Industri Pelancongan' di Kuala Lumpur, pada Selasa.

TEMPAHAN bilik penginapan di Malaysia menerusi platform perkongsian dan sewaan penginapan, Airbnb menunjukkan peningkatan sekitar 30 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2024.

Pengarah Dasar Awam Airbnb untuk Asia Pasifik, Mich Goh berkata, kebangkitan semula sektor pelancongan memacu peningkatan ketara dalam pelancongan domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, sehingga Ogos 2024, Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia merekodkan kedatangan 16.45 juta pelawat, dengan kenaikan 29.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

WhatsApp Image 2024-11-19 at 18.31.40

Mich berkata, kebangkitan semula sektor pelancongan memacu peningkatan ketara dalam pelancongan domestik dan antarabangsa.

"Kuala Lumpur menduduki tempat kedua sebagai bandar paling kerap dikunjungi di Asia Tenggara, di belakang Bangkok, Thailand.

"Selain Kuala Lumpur, Johor Bahru, Johor; Petaling Jaya, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka juga menjadi destinasi domestik paling popular dalam kalangan pengunjung Malaysia.

"Destinasi yang kurang diterokai seperti Hulu Langat di Selangor dan Kinta di Perak secara konsisten muncul sebagai antara 10 bandar teratas paling kerap dikunjungi penduduk tempatan pada 2023 dan separuh pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi meja bulat 'Memacu Pertumbuhan Pelancongan Malaysia: Perbincangan Meja Bulat Bersama Airbnb dan Pemain Industri Pelancongan' di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mich berkata, pelancongan kekal menjadi saluran penting untuk menyatukan keluarga dan rakan-rakan.

Katanya, ia terbukti apabila pelancongan secara berkumpulan yang melibatkan tiga individu atau lebih meningkat hampir 35 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024.

“Data terkini Airbnb juga menunjukkan peningkatan pelancongan solo di Malaysia, dengan percutian solo mencatatkan kenaikan kira-kira 27 peratus pada tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program DE Rantau, jurucakap Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memaklumkan, permohonan terhadap aplikasi tersebut turut mencatatkan peningkatan dua kali ganda sejak diperkenalkan pada 2022.

Ujarnya, sambutan terhadap aplikasi itu dilihat semakin popular apabila MDEC kini menampung 200 aplikasi sebulan pada tahun ini, berbanding 100 sebulan pada tahun lalu.

“Jangkauan aplikasi hari ini telah mendapat lebih daripada 2,000 bagi pasaran domestik digital. Pelancong menghabiskan lebih RM8,000 sebulan untuk perkhidmatan makanan, penjualan dan perkhidmatan pelancongan, termasuk pendidikan anak-anak.

"MDEC sedang cuba untuk bekerjasama dengan industri pelancongan Malaysia bagi menerokai pasaran ini dalam memastikan Malaysia terus menjadi pilihan utama para pelancong ke Asia Tenggara," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram