[VIDEO] TikTokers Sin Yee kongsi resipi ikan cuka versi Baba Nyonya, wajib guna 3 bahan utama, pastikan segar dan asli


  • Hobi
  • Rabu, 19 Mac 2025

Keunikan masakan ikan cuka yang boleh dicuba untuk dijadikan santapan berbuka puasa.

MASAKAN Baba Nyonya atau dikenali sebagai masakan Peranakan merupakan antara warisan kulinari terkenal di Malaysia.

Istimewanya masakan itu, ia berasal daripada gabungan budaya Cina dan Melayu yang melahirkan tradisi unik dalam aspek sosial, adat dan seni kulinari diwarisi turun-temurun.

Bercakap soal makanan Baba Nyonya, pencipta kandungan di TikTok, Ng Sin Yee, 34, antara individu giat mengetengahkan konsep tersebut kepada generasi muda.

BACA LAGI: [VIDEO] Top 3 menu buka puasa masakan Syamimia suri rumah boleh cuba, tak perlu bersesak ke bazar

BACA LAGI: Bertukang dengan gergaji, tukul besi arwah ibu, Nani wanita kreatif di sebalik ‘House of Art’, Kuala Pilah

Sin Yee juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata.

Selain berkongsi resipi, wanita berasal dari Kedah itu juga memperkenalkan tradisi keluarganya yang mengamalkan budaya masyarakat Melayu termasuk berpuasa di bulan Ramadan.

Bermula sejak November 2024, Sin Yee dan ibunya, Ang Gek Chin, 59, mengambil kesempatan berkongsi ilmu masakan unik dan jarang ditemui ketika bulan puasa.

Katanya, resipi turun-temurun daripada keluarganya menjadi inspirasi untuk beliau mencipta kandungan masakan.

"Sebab saya tengok mak sejak dahulu hidup di kampung Melayu dan banyak bergaul dengan orang Melayu.

"Sekolah pun di sekolah Melayu juga, jadi dia sangat pandai belajar budaya kaum lain," katanya kepada Majoriti.

Kongsinya lagi, keluarga Sin Yee sering mengamalkan budaya memasak bersama dan menikmati makanan menggunakan tangan.

Sin Yee (kiri) bersama ibu anggun dalam persalinan kebaya Nyonya. — Instagram Sin Yee

Ikan cuka

Antara menu istimewa yang diperkenalkan ialah ikan cuka. Ia merupakan sejenis hidangan berkuah dimasak dengan bahan-bahan organik dan semula jadi.

Kata Sin Yee, hidangan itu antara peninggalan diwarisi dari nenek ibunya yang berasal dari komuniti Baba Nyonya di Pulau Pinang.

Uniknya masakan ikan cuka itu adalah gabungan rasanya yang pedas, masam dan manis.

"Resipi ini mak ajar kami semua memasak. Sebenarnya lauk ini mak selalu buat kalau nak pergi luar negara sewaktu saya kecil.

"Makanan ini boleh dimasak menggunakan apa saja jenis ikan, tetapi biasanya kami guna ikan tenggiri yang segar.

"Kemudian, bahan wajib halia yang dihiris halus seperti serunding, bawang putih dan kunyit. Kalau tiga bahan ini tiada memang tidak lengkap," kongsinya.

Selain berkhasiat terutama bagi para wanita, menurutnya, menu itu juga tahan lama kerana menggunakan cuka sebagai bahan pengawet ikan tersebut.

Sin Yee berkata, menu tersebut juga sesuai dimakan kanak-kanak dan warga emas serta bantu membuang angin dalam perut.

Bukan itu sahaja, asam pedas Baba Nyona dan pelbagai variasi bubur manis juga kuisin sering dimasak dan dinikmati mereka sekeluarga.

Bagi menu asam pedas, tiada perbezaan ketara dengan masakan Melayu cuma versi Baba Nyonya kuahnya lebih pekat.

Ketika ditanya rahsia keenakan masakan ibunya, Sin Yee menekankan bahawa faktor utama adalah kasih sayang dan ketelitian dalam pemilihan bahan.

"Makanan bukan sahaja untuk dinikmati, tetapi sumber tenaga. Sebab itu, kami memastikan bahan-bahan yang digunakan segar dan asli," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram