
BERBUKA puasa di masjid sudah menjadi satu tradisi yang begitu sinonim dengan Ramadan.
Masjid sebagai pusat ibadah dan perhimpunan umat Islam, memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang untuk berbuka puasa secara berjemaah, yang bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal tetapi juga memperkukuhkan ikatan ukhuwah sesama umat.
Di tengah kesibukan hidup di ibu kota, semakin ramai wanita yang mengamalkan trend masjid hopping dengan tujuan untuk berbuka puasa, menunaikan tarawih secara berjemaah atau mengikuti majlis ilmu.
BACA LAGI: Bufet Ramadan 10Binjai saji hidangan asli tempatan dan Asia Barat, nasi kabsa menu popular
BACA LAGI: [VIDEO] Top 3 menu buka puasa masakan Syamimia suri rumah boleh cuba, tak perlu bersesak ke bazar
Ia juga menjadi alternatif bagi wanita yang bekerja dan mungkin tidak sempat berbuka puasa di rumah, seterusnya membuka peluang untuk menikmati hidangan berbuka yang disediakan masjid berkenaan.
Kegiatan itu malah memberikan mereka peluang merasai pengalaman ibadah yang berbeza di setiap masjid, sambil mengeratkan hubungan sosial dan memperbanyakkan amalan ibadah.
Seorang pengguna TikTok dengan nama akaun @fakhira_siti antara wanita yang aktif memuat naik perkongsian mengenai aktiviti masjid hopping.
Beliau menerusi satu hantaran video turut berkongsi beberapa tip perlu dititikberatkan bagi wanita yang berhasrat untuk melakukan masjid hopping menggunakan pengangkutan awam.
Antara masjid yang mudah untuk dikunjungi wanita menggunakan pengangkutan awam. — @maermhd
Antaranya, mereka perlu membuat kajian tentang masjid yang hendak dituju di media sosial dan pastikan tahu stesen paling dekat dengan masjid.
"Waktu terbaik untuk datang iftar adalah 6.30 petang, namun setiap masjid adalah berbeza, jadi perlu buat kajian," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi nama akaun @puterins_syahira juga antara yang aktif memuat naik perkongsian tentang ilmu agama termasuk aktiviti masjid hopping.
Menerusi hantarannya, selain berkongsi senarai masjid yang dikunjungi, beliau akan menulis perincian mengenai keadaan di rumah ibadat tertentu bagi memudahkan muslimah merancang perjalanan ke sana.
Bagi @maermhd pula, tidak hanya memuat naik nama beserta gambar masjid, beliau turut berkongsi nama laluan LRT atau MRT yang perlu digunakan untuk sampai ke lokasi.
"Semua masjid ini menarik dan iftar juga sedap-sedap. Semoga Ramadan kali ini mendidik kikta menjadi lebih baik dari hari-hari sebelum," tulisnya yang turut memaklumkan jarak perjalanan antara setiap stesen dengan masjid.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, di sini Majoriti senaraikan antara lima masjid yang mudah untuk dikunjungi wanita menggunakan pengangkutan awam:
1) Masjid Al-Sultan Abdullah - LRT/MRT Pasar Seni/ MRT Merdeka
2) Masjid TNB - LRT Abdullah Hukum
3) Masjid Ar-Rahah - LRT Kerinchi/ LRT Universiti
4) Masjid Putra Heights - LRT Putra Heights
5) Masjid KLCC - LRT KLCC/MRT Persiaran KLCC — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram