Aidil Zafuan berada di sesi latihan HM, ramai setuju legenda jadi pembantu Peter Cklamovski


  • Podium
  • Selasa, 18 Mac 2025

Pengikut bola sepak tanah air rata-ratanya menyambut baik kehadiran Aidil Zafuan sebagai pembantu jurulatih Cklamovski. — Facebook/MalaysiaNT

HARIMAU Malaya di bawah revolusi baharu akhirnya memulakan kem latihan mereka apabila sudah melapor diri di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, Johor pada Isnin bagi melakukan persiapan sebelum aksi pertama Kelayakan Piala Asia.

Seramai 27 orang pemain telah pun dipanggil bagi membawa cabaran negara untuk berdepan Nepal dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027. Beberapa pemain termasuk kapten pasukan, Dion Cools dan Faisal Halim sudah kelihatan di sesi latihan.

Apa yang menarik pada sesi latihan pertama Harimau Malaya di bawah bimbingan Peter Cklamovski itu ialah kelihatan kelibat legenda pertahanan skuad kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak.

BACA LAGI: Faisal syukur kembali sertai Harimau Malaya, akui Cklamovski jadi pembakar semangat

BACA LAGI: Jika tidak dipanggil Harimau Malaya, saya tak kecewa — Faisal Halim

Aidil Zafuan yang kini bertugas sebagai pembantu jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kelihatan memakai kit latihan Harimau Malaya berwarna hitam sambil memerhatikan para pemain kebangsaan.

Foto yang dikongsikan oleh Facebook rasmi skuad kebangsaan menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong dengan bekas pemain kebangsaan berusia 38 tahun itu berkemungkinan bakal diumumkan sebagai salah seorang pembantu Cklamovski.

Jika benar Aidil Zafuan akan menjadi sebahagian orang kanan Cklamovski, dia juga bakal bekerja rapat dengan dekas pemain kebangsaan Australia iaitu Mark Milligan, yang baru-baru ini diumumkan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai status Aidil Zafuan, pengikut bola sepak tanah air rata-ratanya menyambut baik kehadiran legenda JDT itu susulan dia boleh berkongsi pengalamannya bersama pemain lain.

"Aidil layak berada dalam kejurulatihan Harimau Malaya, bagi aku dia ada kredibiliti, pengalaman dan komitmen yag dia bagi memang terbaik," kata penyokong Harimau Malaya, MNazrin Mzaki.

"Dengan pengalaman yang dia ada bersama Harimau Malaya, Aidil boleh bantu menutup kelemahan yang selalu berulang lagi-lagi di bahagian pertahanan," komen pengikut skuad kebangsaan, Azlan Mira.

"Cari pengalaman betul-betul Aidil, mungkin nanti boleh jadi ketua jurulatih pula," pendapat penyokong Harimau Malaya, Mohd Faiza.

Aidil Zafuan (tengah) kini merupakan pembantu jurulatih di skuad utama JDT. — Facebook/JDT

Untuk rekod, Aidil Zafuan menjadi sebahagian kakitangan JDT pada awal musim lepas usai menggantung but setelah mengharungi satu dekad yang cukup gemilang bersama skuad Harimau Selatan.

Menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan JDT merupakan kerjaya pertama Aidil Zafuan selepas menamatkan karier yang bermula sejak 2005.

Sepanjang kariernya, Aidil Zafuan telah berjaya memenangi 11 gelaran Liga Super, enam Piala Malaysia, empat Piala FA dan juara Piala AFC pada 2015.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram