
PENGARAH Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr Shamsuri Abdullah, berkata laporan awal berhubung latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan, Ex Kurung akan diserahkan oleh pihaknya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Rabu, sebagai pencerahan berkenaan situasi yang berlaku.
Shamsuri berkata, laporan penuh mungkin mengambil masa namun beliau berhubung dengan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bagi memberikan maklumat awal.
"Kita terima pelbagai respons sama ada yang positif mahupun yang kurang senang kerana dikatakan mengganggu pembelajaran, berlaku kecederaan dan sebagainya.
BACA LAGI : [VIDEO] Insiden serangan lelaki bersenjata di Politeknik Ungku Omar hanya latihan simulasi Komando
"Bagaimanapun, saya rasa perkara ini dapat diredakan apabila masyarakat mengetahui bahawa ini adalah satu simulasi ataupun latihan," katanya.
Beliau berkata demikian pada penutupan Ex Kurung yang dilaksanakan di PUO dekat Ipoh, Perak selama dua hari sejak Isnin.
Terdahulu, pada Isnin, Zambry berkata, Ex Kurung dilaksanakan dengan persediaan rapi meskipun terdapat insiden membabitkan seorang pelajar yang dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan pihaknya menunggu laporan penuh daripada PUO.
Sementara itu, Shamsuri berkata, pihaknya akan memberikan penumpuan terhadap pelajar yang menjadi 'tebusan' kerana mereka dianggap paling terkesan dengan latihan berkenaan.
"Penasihat akademik akan menemui mereka dan kita akan pastikan kesihatan mereka tidak terjejas dan terjamin," katanya.
Pada Isnin, polis dalam satu kenyataan mengesahkan insiden 'pengganas', 'tembakan' dan 'tebusan pelajar' di PUO yang mencetuskan panik dan tular di media sosial adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis dikenali sebagai Ex Kurung.
Ex Kurung yang melibatkan lebih 200 individu terdiri daripada 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas kementerian kesihatan (KKM), media dan pengurusan PUO diadakan sejak pagi Isnin melibatkan serangan sekumpulan pengganas, penahanan tebusan dalam kalangan pelajar dan pensyarah diakhiri dengan 'serangan' terhadap pengganas dan operasi penyelamat tebusan kira-kira 5.30 pagi Selasa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram