Dari graduan fesyen, kini digelar ratu arang batu, Arini Subianto dominasi senarai wanita terkaya Indonesia


  • Benua
  • Selasa, 18 Mac 2025

Kejayaan Arini dalam mengembangkan empayar perniagaan menjadikannya sebagai contoh inspirasi kepada ramai wanita. — Agensi

SENARAI orang terkaya di Indonesia pada tahun lalu terus didominasi oleh golongan lelaki.  

Namun berdasarkan laporan Forbes, terdapat beberapa wanita yang berjaya menembusi kelompok konglomerat terkaya di negara itu, salah seorang daripadanya ialah Arini Subianto berusia 55 tahun.

Dikenali ratu arang batu Indonesia, Arini mengekalkan kedudukannya dalam senarai wanita terkaya di Indonesia dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$2 bilion atau sekitar RM9 bilion.

Selain menjadi wanita terkaya di Indonesia, kekayaan itu juga meletakkan Arini sebagai orang ke-24 terkaya di Indonesia.

BACA LAGIBufet Ramadan 10Binjai saji hidangan asli tempatan dan Asia Barat, nasi kabsa menu popular

BACA LAGI: Bufet Ramadan 10Binjai saji hidangan asli tempatan dan Asia Barat, nasi kabsa menu popular

Arini merupakan anak sulung kepada Benny Subianto (gambar). — Agensi

Arini merupakan anak sulung kepada ahli perniagaan, Benny Subianto yang memiliki portfolio perniagaan merangkumi pelbagai sektor termasuk perladangan, perlombongan dan industri pembuatan. 

Selepas pemergian bapanya pada 2017, beliau mengambil alih kepimpinan syarikat induk keluarga, Persada Capital Investama dan terus memajukan empayar perniagaan dibina orang tuanya.

Sebagai peneraju syarikat, Arini bertanggungjawab menguruskan pelbagai pelaburan strategik termasuk pemilikan saham dalam Adaro Energy Indonesia yang kini dikenali sebagai Alamtri Resources Indonesia, yakni salah satu syarikat arang batu terbesar di Indonesia.

Tidak hanya itu, syarikat tersebut juga mempunyai kepentingan dalam industri minyak sawit, hartanah dan sektor kesihatan serta teknologi.

 

Graduan fesyen

Meski nama terukir cemerlang dalam arena perniagaan, Arini memulakan perjalanan pendidikannya dalam bidang yang jauh berbeza.

Pada 1994, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dalam bidang Reka Bentuk Fesyen daripada Parsons School of Design, Amerika Syarikat (AS). 

Walaupun memiliki latar belakang fesyen, beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam jurusan perniagaan dengan memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Fordham University Graduate School of Business Administration, juga di AS.

Selepas menamatkan pengajian, Arini kembali ke Indonesia dan memulakan langkah pertama dalam dunia bisnes.

Pada 1998, beliau merintis perniagaan kedai aksesori dan cenderamata di Jakarta bersama rakan sekolah menengahnya, Winfred Hutabarat.

Perniagaan kecil itu akhirnya berkembang menjadi kedai buku Aksara. 

Arini tidak pernah berhenti untuk mengembangkan potensi dirinya. — Agensi

Aksara menjadi pelopor kedai buku di Indonesia, dengan cawangan-cawangannya dibuka di pusat beli-belah dan lokasi premium seperti Cilandak Town Square (Citos), Pacific Place dan Kemang. 

Namun sejak 2018, kedai buku berkenaan mula menutup cawangan mereka secara perlahan-lahan.

Walaupun gagal dalam perniagaan kedai bukunya, Arini tidak berhenti mengembangkan potensi dirinya. 

Beliau terus meluaskan portfolio perniagaan dengan melibatkan diri dalam sektor penjagaan kesihatan. 

Salah satu langkah strategik yang diambil adalah menubuhkan Hospital Persada di Malang, Jawa Timur, sekali gus menunjukkan komitmennya dalam meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti di Indonesia.

Selain itu, beliau juga aktif dalam beberapa syarikat dan organisasi besar dengan memegang pelbagai jawatan penting.

Kejayaan Arini dalam mengembangkan empayar perniagaan yang pelbagai menjadikannya sebagai contoh inspirasi kepada ramai wanita dan usahawan di Indonesia serta seluruh dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram