Temasya Komedi Rakyat satukan semula Shiro selepas 7 tahun, nafi tiru Sepahtu Reunion


  • Hiburan
  • Selasa, 18 Mac 2025

Ajak (kiri) dan Shahrol merupakan bekas juara Mahajara Lawak Mega 2018.

LEBIH tujuh tahun membawa haluan masing-masing, kumpulan pelawak duo popular Shiro bakal kembali menggeletek hati penonton menerusi sebuah festival digelar ‘Temasya Komedi Rakyat’ bermula Mei nanti.

Dianggotai dua penghibur tanah air iaitu Shahrol Azizie Azmi, 40, dan Mohd Hanaffi Razak, 39, atau lebih dikenali sebagai Ajak, acara berkonsepkan kesenian rakyat itu bakal menghimpunkan beberapa lagi artis popular lain.

Antara turut diundang ialah Nasir Bilal Khan, Danial Zaini, Fikry Ibrahim, Zulin Aziz serta ramai lagi.

BACA LAGI: Razak Mohaideen dedah kisah benar 'Jutawan Fakir', terjumpa plastik berisi wang dalam tong sampah

BACA LAGI: Bermodalkan RM20,000, Zed Zaidi mulakan bisnes insurans 'road tax' KawKaw!, matlamat bantu klien B40

Menariknya temasya itu, ia bakal diadakan di empat buah lokasi berbeza termasuk merentasi negara jiran bermula Mei hingga Julai depan.

Menyifatkan ia sebagai pentas kemunculan semula kumpulan Shiro, Temasya Komedi Rakyat merupakan sebuah festival kesenian yang jauh lebih ringan dan mesra rakyat.

“Bukan tak pernah ada acara seni rakyat seperti ini di Malaysia sebelum ini, namun pengisian serta konsep yang diterapkan tidak seperti apa yang cuba kami sampaikan.

“Bayangkan, ada lebih 100 vendor yang menjual pelbagai produk tempatan termasuk makanan minuman di setiap lokasi, pengunjung boleh merasai sendiri kemeriahan yang kami berikan selain boleh membantu peniaga lokal yang kesemuanya saya yakin menyediakan produk serta juadah berbeza.

“Kami turut menyelitkan pelbagai acara lain termasuk segmen EduComedy yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan untuk menjadikan pembelajaran lebih santai dan berkesan yang mana ia disampaikan dalam bentuk komedi,” kata Shahrol kepada Majoriti.

Menolak tanggapan peminat yang melihat ia mirip rancangan hiburan Sepahtu Reunion, perkara itu menurutnya sama sekali berbeza kerana temasya tersebut menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang pekerjaan.

Tidak hanya menumpukan kepada bidang lawak, sektor usahawan dan produk tempatan turut menjadi keutamaan cetusan idea tersebut.

Shahrol bakal kembali muncul di pentas hiburan tempatan menerusi Temasya Komedi Rakyat.

 

“Pendek kata, festival rakyat yang cuba kami realisasikan ini ibarat satu ‘kenduri’ orang kampung yang penuh kemeriahan, padat dengan aktiviti yang menarik dan memberi peluang kepada sesiapa saja untuk membantu ekonomi usahawan khususnya peniaga kecil tempatan.

“Rugi mereka yang terlepas untuk berkunjung ke Temasya Komedi Rakyat ini jadi pastikan semua bersedia untuk ‘berkenduri’ bersama kami nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Shiro kali terakhir menggegar pentas lawak tanah air menerusi kemenangan diraih pada Maharaja Lawak Mega pada 2018.

Terkenal dengan persembahan berkonsepkan lawak bermoral, Temasya Komedi Rakyat semestinya menjanjikan adegan lucu tidak kering gusi daripada pasangan duo tersebut di samping gabungan beberapa artis undangan lain kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram