
PEMINAT perfileman tanah air pasti tidak asing dengan filem komedi Jutawan Fakir yang satu ketika dahulu cukup fenomena sekitar 2003.
Dilakonkan pelawak nombor satu negara, Saiful Apek, Allahyarham Bob Kuman dan Azza Elite, naskhah tersebut meninggalkan nostalgia dan membuatkan penonton tidak kering gusi hingga ke hari ini.
Namun, di sebalik gelak tawa dipaparkan kepada umum, tersimpan seribu satu rahsia dan kisah benar dialami pengarahnya, Datuk Dr. Abdul Razak Haji Mohaideen, 60.
BACA LAGI: Bermodalkan RM20,000, Zed Zaidi mulakan bisnes insurans 'road tax' KawKaw!, matlamat bantu klien B40
BACA LAGI: Bukan sekadar kisah cinta, 'Sejarah Mungkin Berulang' sarat nilai pengorbanan seorang ayah — Tomok
Lebih dua dekad ia diterbitkan, pengarah tersohor kelahiran Pulau Pinang itu akhirnya terdetik untuk menceritakan idea asal terhasilnya filem berkenaan.
Menganggap ia sebagai peristiwa 'pelik tapi benar' dialaminya, Razak Mohaideen pernah terjumpa bungkusan plastik hitam berisi wang kertas yang dibuang dalam tong sampah satu ketika dahulu.
"Ceritanya berlaku semasa saya sedang menjalani latihan industri (intern) bersama seorang wartawan di sekitar Jalan Kuching Kuala Lumpur.
"Tahun 1987 tak silap masa tu saya berusia 23 ikut buat kerja wartawan, ternampak ada orang buang sampah plastik hitam berisi wang kertas.
"Tak pasti berapa jumlah dia tapi memang banyak la kalau tengok, keesokan harinya ada laporan polis kata kes rompakan, dari situ saya tercetus idea buat filem Jutawan Fakir," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda jurusan kewartawanan itu menjelaskan idea asal filem berkenaan sepatutnya diterbitkan dalam bentuk drama televisyen.
Namun, atas beberapa faktor serta galakan ramai ia dihasilkan untuk sebuah projek filem yang kemudiannya berjaya meriah kutipan pecah panggung sebanyak RM2.2 juta dalam tempoh 20 hari tayangan.
Allahyarham Bob Kuman (kiri) dan Saiful Apek merupakan tunjang utama filem Jutawan Fakir.
"Asalnya cerita ni nak diterbitkan untuk drama televisyen tapi mungkin dah rezekinya takdir kata ia untuk filem maka jadilah filem Jutawan Fakir.
"Bukan semua jalan cerita ni diambil daripada pengalaman saya cuma babak Saiful Apek jumpa bungkusan wang tu ada sedikit mirip macam saya punya pengalaman.
"Ditambah pula dengan kelebihan melawak Saiful masa tu, jadi filem komedi disukai ramai tahun 2003," ujarnya.
Razak Mohaideen kini sedang sibuk menyiapkan proses akhir penggambaran filem terbaharunya berjudul Duyung: Legenda Aurora.
Dijangka ditayangkan pada September nanti, filem tersebut merupakan sekuel sambungan Duyung pada 2008 yang bakal menampilkan barisan artis popular seperti Anna Jobling, Saiful Apek dan Maya Karin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram