Bimbang Terminal Gombak ‘senasib’ TBS, jadi port tidur warga asing, kebersihan ‘out’


  • Massa
  • Ahad, 16 Mac 2025

Terminal Bas Gombak (TBG) mula menerima penumpang dari negeri Pantai Timur sejak Sabtu.

BIARPUN masih dalam tempoh percubaan, Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Plaza Tol Gombak, Selangor mula mendapat maklum balas positif orang ramai.

Terminal itu yang baru sahaja beroperasi pada Sabtu mula menerima penumpang dari Pantai Timur dan dijangka akan dibuka pada seluruh negeri lain pada 22 Mac kelak.

Menyediakan fasiliti dan kelengkapan serba moden buat penumpang, TBG berperanan  sebagai hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan serta destinasi lain termasuk negeri di utara. 

 BACA LAGI: Juadah tongmo diikat tali rafia cetus kebimbangan, KKM digesa pantau bazar Ramadan di Kota Bharu

 BACA LAGI: [VIDEO] Dikepung 5 kereta mewah, mat moto lunyai diserang geng samseng di Klang

Dalam pada itu, masyarakat khususnya pengguna bas ekspres rata-ratanya menggesa agar pengurusan TBG mengenakan kompaun kepada individu yang cuba berniaga ataupun menginap di terminal tersebut.

Enggan TBG berdepan nasib serupa seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS), warga maya di laman sosial berharap agar ada pemantauan ketat dijalankan secara berkala oleh pihak pengurusan.

"Dinasihatkan pihak pengurusan TBG agar kerap membuat pemantauan di terminal ketika beroperasi penuh kelak kerana tidak mahu kejadian warga asing berkumpul dan tidur di hentian bas TBS dulu berlaku di TBG pula," kata Zaidi Juara.

"Kebersihan tolong jaga, nanti seperti TBS tempat sangat cantik tapi kebersihan out, dengan orang menjual di sepanjang laluan sebelum masuk kat TBS tu kena pulak dengan pengguna kurang sivik. Kenakan kompaun sekiranya didapati tiada kesedaran sivik dan vandalisme kat tempat baru ni," ujar Mohd Salleh Udin.

"Jangan bagi warga asing tidur kat kaki lima macam TBS, mencemarkan pemandangan je malu dengan pelancong asing," tambah Mohd Adam.

Sementara itu, TBG turut menghubungkan bas antara bandar dan diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak serta stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak yang pembinaannya sudah mencapai 79 peratus setakat ini.

Menyediakan 1,200 tempat letak kereta, terminal baharu itu juga menawarkan sebanyak 3,000 peluang pekerjaan kepada orang ramai bagi melicinkan pengoperasian TBG kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram