
SATU insiden keganasan disyaki membabitkan sekumpulan samseng menaiki lima buah kereta berlaku di Jalan Hulubalang 28, Taman Sentosa, Klang, Selangor pada Sabtu.
Kejadian dipercayai berlaku lewat malam itu tercetus selepas kesemua kenderaan terbabit dirakam mengepung seorang penunggang motosikal sebelum bertindak menyerang mangsa.
Bersenjatakan besi dan kayu, mangsa dipukul secara beramai-ramai tanpa dibantu mana-mana individu ketika kejadian.
BACA LAGI: [VIDEO] Kena kejar peronda hampir 7km, 2 lelaki positif dadah ditahan halang tugas polis di Muar
Cubaan meloloskan diri gagal apabila lelaki berbaju putih itu terus dikejar dan dipukul kesemua kumpulan samseng berkenaan.
Insiden keganasan itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran lokasi kejadian dan tular di laman sosial sejak Ahad.
Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin Aman Shah mengesahkan kejadian berlaku di Taman Sentosa, Klang namun punca sebenar masih dalam siasatan.
"Memang benar ada kes pergaduhan kemungkinan melibatkan samseng di Taman Sentosa Sabtu malam.
"Belum ada laporan penuh kes setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan berkenaan kejadian dan orang ramai diminta tidak mencetuskan spekulasi berkaitan isu tersebut," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menerusi kenyataan rasmi pada Ahad berkata, pusat kawalan IPD menerima panggilan berhubung kejadian akibat pergaduhan pada pukul 10.50 malam Sabtu.
"Dalam kejadian ini, kesemua suspek bertindak menetak dua mangsa di premis berkenaan yang mana salah seorang mangsa melarikan diri dan disahkan meninggal dunia dalam sebuah premis lain kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
"Seorang lagi mangsa dibawa ke hospital swasta berdekatan dan disahkan meninggal dunia apabila tiba di hospital berkenaan.
"Mangsa yang meninggal dunia adalah warga tempatan berusia 36 dan 38 tahun dan masing-masing memiliki satu rekod jenayah lampau," katanya.
Tambahnya, polis bahagian siasatan jenayah IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya masih menyiasat jika pergaduhan tersebut membabitkan kongsi gelap.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
"Usaha mengesan suspek terlibat masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di 03-33762222 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram