HIDAYAH milik ALLAH. Jelas memberi makna bahawa ia diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-NYA.
Anugerah istimewa itu juga tidak dapat dipaksa, dibeli atau diminta, tetapi ia pasti datang di waktu dan dengan cara yang tidak dapat diduga.
Dilahirkan dan dibesarkan dari keluarga bukan beragama Islam, Muhammad Imran Abdullah mempunyai kisah dan perjalanan menarik untuk dikongsi yang mungkin dapat memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat.
BACA LAGI: [VIDEO] Desakan ibu agar turun berat badan bantu Nurzarina jadi atlet MTB negara
Muhammad Imran kini merupakan pengusaha restoran masakan Indonesia-Malaysia di Bangsar, Kuala Lumpur.
Mengimbau kembali detik-detik awal ketika baru sahaja memeluk agama Islam, Muhammad Imran atau lebih mesra disapa sebagai Haji Imran berkata, ia bukanlah satu proses yang mudah.
Baginya, pertukaran agama itu memberi perubahan besar buat dirinya yang membesar dengan ibu penganut agama Kristian dan bapanya pula Hindu.
Katanya, meskipun begitu, Haji Imran dan adiknya tidak diajar atau diterapkan dengan ajaran agama yang tetap di rumah.
Lelaki berasal dari Jerman berusia 56 tahun itu berkata, dia mula tertarik untuk mempelajari dan memeluk agama Islam pada 1994 sejak berpindah ke Jakarta, Indonesia pada 1979.
"Ia bermula bila kami sekeluarga berpindah ke Jakarta ketika umur saya 10 tahun. Kami tinggal di sebuah rumah yang dekat dengan masjid.
"Jadi, setiap hari kami dengar seruan azan yang berkumandang dari masjid sehingga seperti rutin harian saya.
"Setiap hari saya lihat masjid itu dan perasaan ingin tahu untuk belajar tentang Islam semakin membuak-buak," katanya kepada Majoriti.
Pengurus restoran masakan campuran Indonesia dan Malaysia di Bangsar, Kuala Lumpur itu juga berkata, rasa ingin tahu yang kuat dalam dirinya dan sokongan penuh daripada seorang cef peribadi di rumah membuatkannya memilih untuk memeluk Islam.
Haji Imran (kanan) bersama keluarganya ketika sebelum memeluk Islam.
Menurutnya, agama Islam mengubah hidupnya daripada segi gaya hidup dan rutin harian seperti berdoa ketika makan, mendengar khutbah, mengucap syahadah dan melaksanakan ibadah seperti solat dan haji.
Siapa sangka Haji Imran antara yang dipilih-Nya untuk menunaikan ibadah Haji pada 2012.
Walaupun perjalanan itu penuh dengan cabaran dan liku, dia tetap tidak mudah berputus asa berharap kepada ALLAH untuk menjadikannya sebagai umat Muslim yang sempurna.
Penerimaan keluarga
Mengakui bahawa penerimaan keluarga antara cabaran terbesar buatnya ketika awal menjadi Muslim, Haji Imran berkata, ayahnya antara individu yang tidak dapat menerima keputusannya itu.
"Ayah saya tidak mahu bercakap dengan saya selama 17 tahun selepas saya peluk Islam. Setiap kali saya hubunginya, dia akan beri telefon pintar kepada ibu.
"Tetapi saya bersyukur sebab ibu saya masih boleh menerima keputusan saya dengan baik," katanya.
Katanya, hidupnya mula berubah sepenuhnya adalah selepas menyempurnakan ibadah Hajinya dan menganggap ia seperti keajaiban yang tidak dapat digambarkan.
Haji Imran berkata, detik-detik yang tidak akan dilupakannya adalah pada hari Arafah.
Haji Imran (kiri) bersama keluarganya ketika melancong di Lisbon, Portugal.
"Pada waktu itu sebelum Subuh, saya sedang berfikir tentang sarapan dan secara tiba-tiba seolah-olah ada sesuatu masuk dalam diri saya yang membuatkan saya menangis dan bergetar.
"Ketika itu, ada seorang ustaz datang kemudian letakkan tangannya di dada saya. Dia berkata, 'Imran, minta maaf kepada ibu, ayah, adik dan semua orang'.
"Ustaz itu juga arahkan saya untuk keluar dan minta (berdoa) apa sahaja yang saya inginkan. Dan saya pun berdoa untuk minta 54 perkara," ceritanya.
Kongsinya lagi, kesemua permintaan yang dirasakan seperti tidak mungkin akan tertunai itu secara perlahan-lahan termakbul hari demi hari.
Dengan kuasa ALLAH juga, suara bapanya yang dirindukan selama 17 tahun itu akhirnya dapat didengari selepas sahaja pulang dari Haji dan berpindah ke Malaysia sejak 2020.
"Ia sangat luar biasa dan Alhamdulillah hubungan kami terus baik selepas itu. Saya sangat sebak kerana dia dengan mudah menerima saya kembali dalam keluarga kami," luahnya.
Justeru, dia juga berharap agar kisah itu dapat memberi semangat baharu buat individu-individu yang sedang bergelut mencari jalan keluar daripada masalah hidup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram