
DARI bidang profesional ke dunia hiburan, personaliti TV, nama Hawa Rizwana Ahmad Redzuan mesra dengan panggilan Hawa semakin dikenali orang ramai.
Berlatarbelakang jurusan kewartawan, Hawa memulakan karier sebagai wartawan sebelum menjadi penyampai Berita TV9 dari 2016 hingga 2018, kemudian beralih ke TV3 untuk Buletin Utama (2019 hingga 2022).
Kini, Hawa semakin aktif mengacara khususnya program Meletop yang disiarkan menerusi Astro dan beberapa program lain. Tidak hanya itu, wanita murah senyuman tersebut turut terlibat dalam dunia lakonan.
BACA LAGI: [VIDEO] Suspek, mangsa kes tetak di Johor Bahru saling tak mengenali, gaduh mulut jadi punca amukan
Tidak hanya memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh, penampilan Hawa juga sering mencuri perhatian dalam kalangan peminat. — Instagram/@hawarizwana
Keputusan Hawa untuk melangkah ke industri hiburan sedikit sebanyak menimbulkan persoalan, apatah lagi beliau mempunyai latar belakang pendidikan profesional.
Menurut Hawa, beliau tidak pernah berasa rugi dengan keputusan tersebut walaupun mempunyai kelulusan pendidikan bidang profesional.
Graduan jurusan Kewartawanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu bukan sahaja mempunyai kelulusan diploma, ijazah dan ijazah sarjana muda, malah beliau pernah mengambil kursus pendek Entrepreneurship Acceleration Programme selama 10 hari di Universiti Oxford, London pada Disember tahun lalu.
Perkara itu membuktikan Hawa tidak hanya komited pada kerjaya, malah menunjukkan kesungguhan dalam menimba ilmu.
Hawa ketika menghadiri kursus pendek di Universiti Oxford, London, tahun lalu. — Instagram/@hawarizwana
"Hawa suka belajar, bukan sahaja dalam kelas. Kalau keluar bersosial di majlis-majlis pun kadang-kadang Hawa tidak kenal orang sekeliling. Jadi, saya suka belajar mengenai industri pekerjaan orang lain seperti cara mereka menyelesaikan masalah.
"Ilmu datang dalam pelbagai cara. Ada cara kita bercakap dengan orang, ada cara ke kelas. Bagi Hawa tidak rugi menimba ilmu sebab itu yang akan menjadikan kita lebih berkualiti dan berkembang," katanya.
Hawa turut berkongsi, pengalamannya bekerja di dalam bilik berita selama hampir tiga tahun memberi banyak impak kepada kerjaya dan kehidupannya.
Walaupun kini aktif dalam industri seni, Hawa tetap menghargai ilmu yang diperoleh ketika bergelar wartawan kerana sehingga kini masih mempraktikkan segala pembelajaran berkaitan bidang berkenaan.
Hawa kini berjinak-jinak dalam dunia perniagaan selepas melancarkan jenamanya Hawa Rizwana & Co. — Instagram/Hawa Rizwana
"Walaupun belajar kewartawanan dan kini bukan lagi berada dalam bidang itu, tetapi saya masih mengaplikasikan segala ilmu dipelajari ketika di universiti dahulu.
"Meskipun sekarang lebih banyak mengacara program, namun kerja ini masih memerlukan kajian dari semasa ke semasa," jelasnya
Dalam perkembangan berlainan, Hawa baru sahaja melancarkan jenama tudungnya iaitu Hawa Rizwana & Co di Bangsar Kuala Lumpur.
Minatnya yang mendalam terhadap fesyen membuatkan figura seiras wajah pelakon dan usahawan, Neelofa itu mengambil keputusan mengusahakan jenama sendiri.
Lebih menarik, mengatur langkah ke dunia fesyen sememangnya merupakan impian Hawa sejak kecil.
Keputusan merancang bisnes sendiri juga dipengaruhi oleh pengalaman hidup dan rezeki yang datang pada waktu sesuai.
Hawa berkata, masa yang tepat untuk merancang ke dunia perniagaan adalah ketika seseorang itu mempunyai pemikiran matang dalam membuat keputusan.
"Saya rasa sekarang adalah masa tepat kerana seiring dengan kematangan.
"Saya lebih tahu mana perlu diutamakan dan harus ditambah baik. Jadi, itu yang membuatkan Hawa lebih fokus untuk rancang jenama sendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram