Terbit lebih 160 buah naskhah agung, Studio Jalan Ampas penyumbang kegemilangan filem Melayu


  • Hiburan
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Studio Jalan Ampas ditubuhkan dua beradik Shaw Brothers pada 1947.

STUDIO Filem Melayu milik Shaw Brothers (SB) atau lebih dikenali sebagai Studio Jalan Ampas merupakan landasan yang telah banyak menyumbang kepada pengenalan perfileman tanah air era klasik.

Mula dibuka pada 1947, studio yang bertempat di Singapura itu menyimpan 1,001 momen nostalgia buat pembikin filem suatu ketika dahulu.

Biar jasa jadi kenangan, deretan filem terhasil di studio tersebut menjadi ingatan setiap masyarakat di Malaysia mahupun Singapura yang suatu ketika dahulu banyak terlibat dalam pengenalan filem Melayu ke persada Asia.

BACA LAGI: SIAR: Bukan setakat Gelora, lagi karya Seniman Agung P. Ramlee pernah digam angkara kontroversi

BACA LAGI:  [VIDEO] Pernah berlakon filem Hollywood klasik, 'Little Jungle Boy' serlah kefasihan Pak Malau berbahasa Inggeris

Berikut merupakan empat trivia menarik dalam sejarah penubuhan Studio Jalan Ampas sejak berzaman lamanya.

1. Terbit lebih 160 buah filem hitam putih

Banyak berjasa kepada pembikinan fiem hitam putih Melayu, kira-kira lebih 160 buah naskhah telah tercipta di Studio Jalan Ampas.

Seniman tanah air, Allahyarhan Tan Sri P. Ramlee antara yang paling banyak menimba ilham di studio berkenaan dan boleh dikatakan hampir kesemuanya merupakan produk pecah panggung.

Salah satu babak filem Seniman Bujang Lapok di Studio Jalan Ampas.

Rangkaian filem Bujang Lapok antara karya agung terhasil di studio berkenaan selain turut menjadi salah sebuah lokasi penggambaran dalam Seniman Bujang Lapok.

2. Pernah ditutup selepas Perang Dunia Kedua

Mula beroperasi pada 1937, Studio Jalan Ampas yang terlebih dahulu dikenali sebagai Malay Film Productions menghasilkan sebanyak tujuh buah filem Melayu iaitu Ibu Tiri, Mutiara, Bermadu, Tiga Kekaseh, Hanchor Hati, Terang Bulan di Malaya dan Mata Hantu.

Namun, operasi pembikinan filem di situ terhenti berikutan Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan bangunan studio tersebut dirampas tentera Jepun.

Usai tamat peperangan sekitar 1945, pihak Shaw Brothers telah membelanjakan sejumlah jutaan wang untuk membina semula kemudahan dan fasiliti studio terbabit.

3. Melahirkan ramai seniman agung Melayu

Selain daripada berfungsi sebagai 'kilang' filem Melayu, Studio Jalan Ampas turut berperanan melahirkan beberapa insan hebat dalam sejarah perfileman Melayu.

(Dari kiri) Allahyarham P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Aziz Sattar antara lagenda dilahirkan di Studio Jalan Ampas.

Allahyarham P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin antara legenda yang terbentuk hasil daripada karya terbitan studio rakaman tersebut.

Filem Bujang Lapok khususnya yang paling banyak menyumbang kepada populariti ketiga-tiga pelakon disegani itu.

4. Ditutup selepas industri tempatan dimonopoli filem asing

Era kegemilangan Studio Jalan Ampas akhirnya menemui jalan penamat apabila ia ditutup pada 1967 susulan beberapa kemelut melanda syarikat tersebut.

Antara faktor utama penutupan studio berkenaan adalah disebabkan kekurangan permintaan terhadap filem-filem Melayu yang semakin dilupakan masyarakat tempatan.

Kedatangan karya hebat dari Hong Kong dan Bollywood misalnya telah mengaburi tarikan penonton terhadap perfileman Melayu, sekali gus membuatkan ia lemas dalam lambakan filem asing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram