
JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) berjaya mendedahkan modus operandi sindiket yang telah mendaftar lebih 80 sijil kelahiran menerusi dokumen palsu sejak tiga tahun lalu.
Sindiket itu didakwa mempunyai rangkaian domestik dan antarabangsa, menjual sijil kelahiran di pasaran gelap kepada ibu bapa serta penjaga kanak-kanak tanpa pengenalan diri atau kewarganegaraan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sindiket itu didedahkan melalui siasatan dalaman JPN selepas ia disedari pegawai susulan isu penyelewengan dan pendaftaran lewat kelahiran.
BACA LAGI: [VIDEO] Kena kejar peronda hampir 7km, 2 lelaki positif dadah ditahan halang tugas polis di Muar
Hadir pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias.
"Siasatan mendapati sindiket itu memalsukan dokumen kelahiran dengan mencipta dan mereplikasi dokumen palsu untuk menyerupai pengesahan rasmi daripada kemudahan penjagaan kesihatan swasta yang berdaftar dan beroperasi secara sah," katanya.
Menurutnya, dokumen penipuan itu kemudiannya digunakan untuk mengaburi pihak JPN bagi tujuan pendaftaran kelahiran.
“Modus operandi sindiket itu melibatkan individu yang bertindak sebagai pemberi maklumat kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran.
"Sebaik sijil kelahiran yang sah diperoleh, ia dipercayai dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga anak tanpa pengenalan diri ataupun kewarganegaraan Malaysia.
“Sindiket itu juga disyaki mempunyai rangkaian domestik dan antarabangsa dan berkemungkinan terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak tanpa izin dari luar negara untuk dijual kepada ibu bapa ini,” katanya.
JPN mengenal pasti modus operandi digunakan sindiket menjual sijil kelahiran palsu negara. — Gambar hiasan
Tambahnya, JPN kini sedang mengusahakan operasi yang dinamakan 'Ops Tumpang' dengan kerjasama Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SPRM Selangor.
"Operasi ini dijalankan serentak di beberapa lokasi di empat negeri termasuk Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.
"Dalam operasi itu, 10 wanita tempatan dan lapan lelaki ditahan dengan empat individu termasuk seorang pengamal undang-undang berusia 55 tahun, disyaki bertindak sebagai perantara antara ejen dipercayai menjadi dalang di sebalik sindiket tersebut.
"Enam lagi tahanan dikenal pasti sebagai pemberi maklumat kelahiran. Pihak berkuasa turut merampas wang tunai RM54,000 daripada suspek dipercayai hasil daripada kegiatan haram itu," ujarnya.
JPN dalam masa sama tidak menolak kemungkinan penahanan lanjut semasa siasatan dijalankan.
“Operasi ini adalah hasil pengumpulan risikan bersama hampir setahun antara JPN dan SPRM, berserta perancangan rapi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan menyeluruh terhadap individu dan pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini,” kata Saifuddin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) kerana didakwa memberikan maklumat palsu semasa pendaftaran kelahiran.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kes itu juga dijangka disiasat di bawah undang-undang lain dalam bidang kuasa SPRM.
"JPN mengesahkan komitmennya yang kukuh dan berterusan untuk memelihara integriti dan ketulenan dokumen identiti negara tanpa kompromi. Sebarang percubaan untuk memalsukan dokumen rasmi adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan undang-undang yang ketat," jelasnya.
Terdahulu, SPRM pada Rabu menahan seramai 16 individu berusia lingkungan 20-an dan 70-an dalam Op Outlander dan Op Birth yang dijalankan di seluruh Lembah Klang serta Johor.
Mereka yang ditahan termasuk seorang penjawat awam, pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, pengamal undang-undang, beberapa ejen dan pemohon pendaftaran kelahiran.
Kesemuanya disyaki melakukan kesalahan antara 2013 hingga 2018 dan 2023 hingga 2025 membabitkan rasuah serta penyediaan serta penyerahan dokumen pengesahan kelahiran palsu.
Seramai 12 individu direman empat hingga lima hari sehingga 16 Mac ini, manakala empat lagi termasuk pengamal perubatan bergelar Datuk Seri dibebaskan dengan jaminan SPRM atas sebab kesihatan selepas keterangan mereka direkodkan. — The Star/Zakiah Koya
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram