
PEMINAT setia Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, kini berpeluang menyelami perjalanan 30 tahun karier seni penyanyi nombor satu negara itu melalui pameran istimewa yang berlangsung di Pavilion KL, Kuala Lumpur.
Pameran Budaya Raya itu bukan sahaja menampilkan koleksi pakaian raya yang pernah digayakan Siti Nurhaliza, tetapi turut merakamkan perjuangan dan kejayaan beliau sepanjang bergelar anak seni.
Sejak dari awal pembabitannya dalam dunia seni tanah air, anak jati Pahang itu telah menempa kejayaan demi kejayaan, bukan sahaja peringkat tempatan, malah di persada antarabangsa.
BACA LAGI: Single pertama sebagai Biduanita Negara, Siti Nurhaliza abadikan perjalanan seni menerusi 'Sejarah'
Bagi mengabadikan momen-momen berharga tersebut, pameran yang berlangsung dari 1 Mac hingga 6 April 2025 itu mempersembahkan 20 koleksi pakaian raya yang pernah digayakan Biduanita Negara tersepanjang sepanjang kerjaya seninya.
Di samping koleksi pakaian, pameran tersebut juga memaparkan beberapa anugerah serta pengiktirafan diterima pelantun lagu Wajah Kekasih sepanjang perjalanan kariernya, antaranya Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Juara Lagu.
Ia sebagai simbol penghormatan terhadap dedikasi penyanyi yang juga usahawan itu dalam memartabatkan seni suara tanah air.
Antara koleksi pakaian pernah digayakan Siti Nurhaliza pada pelbagai acara. — Instagram/ctdk
"Pihak Pavilion KL memberi penghormatan kepada saya dengan mengadakan pameran barangan kenangan saya seperti trofi, pakaian, poster dan plaque selama 30 tahun dalam industri muzik," katanya menerusi laman Instagram miliknya pada Khamis.
Tidak hanya itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan produk keluaran jenama kecantikan SimplySiti dan jenama pakaian, Afiya By Siti Nurhaliza miliknya yang turut disediakan di ruang legar utama pusat beli-belah tersebut.
"Jangan lupa dapatkan barangan @officialsimplysiti atau @afiyabysitinurhaliza berharga RM200 untuk menjadi 150 orang pertama berpeluang dalam sesi beramah mesra dengan saya pada 9 Mac 2025, pukul 12.30 tengah hari di pentas utama," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram