
DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, industri perfileman antarabangsa menyaksikan penglibatan wanita sebagai pengarah filem, sekali gus menghasilkan karya yang memberi tumpuan pada isu kaum Hawa.
Fenomena itu bukan sahaja mencerminkan kebangkitan suara wanita dalam bidang seni, tetapi juga memperlihatkan kepelbagaian perspektif dan naratif dalam penceritaan filem tempatan mahupun antarabangsa.
Pengarah filem kebiasaannya sering dikaitkan dengan figura lelaki, namun kini wanita juga memiliki peluang untuk mencabar diri dalam kerjaya itu.
BACA LAGI: Bukan saja lagu, 5 karya angkat nama wanita jadi taruhan judul filem
BACA LAGI: 'This is ours Malaysia', pelakon Siti Saleha ranggul anugerah Bintang Asia Terbaik di Seoul
Perubahan tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam perjuangan kesaksamaan gender.
Di sini Majoriti senaraikan antara lima filem garapan pengarah wanita yang berjaya menarik perhatian penonton dengan mengetengahkan naratif berkisar perjuangan, kehidupan dan pengalaman golongan berkenaan menerusi tayangan di Netflix.
1) Darlings
Filem Darlings diangkat daripada realiti kehidupan berumah tangga.
Filem Darlings arahan Jasmeet K Reen diangkat daripada realiti kehidupan rumah tangga dan menyajikan genre komedi gelap. Ia disiarkan pada 2022.
Filem berbahasa Hindi itu mengisahkan penderitaan Badru lakonan Alia Bhatt yang bertahun-tahun menanggung penderitaan akibat suaminya Hamza (Vijay Varma), peminum minuman keras tegar.
Didorong oleh kesedihan setelah kehilangan anak dikandungnya, beliau nekad memberi suaminya pengajaran yang sama.
2) Laapataa Ladies
Dua wanita melalui pelbagai siri pengembaraan lucu dalam filem Laapataa Ladies.
Filem garapan Kiran Rao pada 2024 mengisahkan satu kejadian tidak dijangka menyebabkan dua pengantin baharu tertukar secara tidak sengaja.
Kedua-dua wanita itu melalui pelbagai siri pengembaraan lucu akibat kejadian tersebut.
Selain menyentuh emosi, jalan ceritanya sarat dengan mesej tentang kepentingan menghormati wanita, selain turut disulami unsur humor yang dimainkan oleh Nitanshi Goel, Sparsh Shrivastava, Savita Malviya dan Khusbhoo Chowbidkar.
3) Barbie
Barbie mengangkat tema bahawa wanita mampu berdiri setanding lelaki dalam pelbagai bidang.
Dibintangi oleh Margot Robbie dan Ryan Gosling, filem arahan Greta Gerwig merupakan karya diadaptasi daripada anak patung mainan kanak-kanak yang terkenal dan mahal.
Meskipun asalnya dianggap cerita yang berkait rapat dengan dunia kanak-kanak, Barbie ternyata menawarkan banyak isu serius melibatkan wanita, termasuk tema feminisme yang cukup ketara.
Terdapat banyak mesej inspirasi yang dipaparkan dalam filem tersebut terutamanya tentang kebebasan dan mencari kebahagiaan untuk wanita.
Barbie juga mengangkat tema bagaimana wanita mampu berdiri setanding lelaki dalam pelbagai bidang.
4) Skater Girl
Filem menyentuh perjuangan wanita mendapatkan kebebasan dan melawan stereotaip sosial.
Filem itu memberi tumpuan pada perjuangan seorang remaja perempuan di kawasan luar bandar India yang menemui minat terhadap papan selaju.
Skater Girl berkisar perjalanan Prerni (Rachel Sanchita Gupta), yang hidup dalam kemiskinan dan terikat dengan norma sosial yang ketat.
Namun, setelah bertemu dengan jurulatih luar negara, beliau mula mengembangkan bakatnya dalam papan selaju, yang akhirnya mengubah arah hidupnya.
Diarahkan oleh Manjari Makijany, Skater Girl bukan sekadar sebuah filem sukan biasa. Ia menyentuh isu besar seperti perjuangan wanita mendapatkan kebebasan dan melawan stereotaip sosial.
5) Lust Stories 2
Setiap segmen dalam filem tersebut mencabar norma sosial dan memperlihatkan tema feminisme.
Lust Stories 2 menampilkan empat cerita berbeza arahan oleh Konkona Sen Sharma bersama R Balki, Sujoy Ghosh dan Amit Ravindernath Sharma.
Tidak hanya menggambarkan hubungan seksual dan keinginan semata-mata, filem itu juga membincangkan pencarian jati diri, perasaan terpendam dan ketidakadilan yang sering dihadapi wanita dalam masyarakat.
Setiap segmen dalam filem mencabar norma sosial dan memperlihatkan tema feminisme, ketidaksamaan gender serta kebebasan individu dalam meluahkan perasaan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram