Magis hobi 'jinakkan sudip dan senduk', mampu kuruskan badan


  • Hobi
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Bermula sebagai hobi, Nur Atiqah menjadikan memasak hidangan sihat sebagai amalan rutin yang diamalkan.

APABILA bercakap tentang aktiviti kegemaran, setiap daripada kita tentu sahaja memiliki pelbagai perkara yang gemar dilakukan.

Tidak mengira sama ada bersantai bersama keluarga, bersukan, menonton wayang, berbasikal, memancing mahupun denai kembara, segalanya menawarkan kepuasan berbeza.

Begitu juga dengan hobi memasak. Namun, tidak semua memiliki kelebihan mahupun keinginan untuk memasak apatah lagi ‘menjinakkan’ sudip dan senduk di dapur.

Sebilangan turut memandang enteng terhadap hobi memasak yang kononnya tiada standard jika ingin dibandingkan dengan aktiviti riadah sepert bersukan, mengembara di gunung, berbasikal atau sebagainya.

Meskipun kelihatan mudah, tetapi menurut Pakar Psikologi dan Akademik Universiti indonesia, Rose Mini Agoes Salim, memasak merupakan salah satu cara untuk menghilangkan stres.

Katanya, fokus terhadap pembuatan campuran bahan mentah, rempoh, teknik potongan dan cara memasak dapat membentuk ciri-ciri ketelitian dalam diri.

“Sebenarnya aktiviti memasak ini sangat menyenangkan. Membuatkan kita lebih fokus dan prihatin terhadap orang lain.

“Begitu juga dengan menggunakan kebijaksanaan mencampurkan rempah ratus untuk melahirkan rasa enak sekali gus mampu mencatat memori,” katanya yang dipetik menerusi laporan Liputan6.com.

majoriti2022 (4)

Nur Atiqah mempelajari resipi makanan sihat secara dalam talian dan bahan bacaan. Instagram

Berat badan

Berkongsi cerita tentang itu, Nur Atiqah Mohamad Khudri , 31, turut menjadikan memasak sebagai sebagai hobi sebelum rutin tersebut sebati dengan dirinya.

Hobi itu membuatkan dia memilih untuk menyediakan makanan sihat. Selain untuk diri sendiri, dia juga memberi fokus kepada keluarga terutama suami yang mengalami masalah kolestrol tinggi.

Ibu kepada seorang cahaya mata berusia dua tahun itu turut tidak terlalu menggunakan gula, garam dan minyak masak dalam masakan.

Tidak dinafikan awalnya sukar untuk dilakukan sementelah sudah terbiasa dengan masakan terutama hidangan Melayu yang kerap menggunakan minyak dan santan.

Bagaimanapun dek minat terhadap bidang kulinari, dia optimis sehingga mampu melakukannya sejak 2020.

“Saya dahulu cuba untuk mencari hobi yang sesuai bagi menurunkan berat badan. Berat badan saya sebelum sekitar 73 kilogram (kg).

“Kemudian selepas berumah tangga dan melahirkan anak pada dua tahun lalu, berat badan sahaja naik sehingga mencecah 82kg.

“Bermula dari itu saya mula mencari perkara yang boleh dilakukan agar dapat membantu untuk menurunkan berat badan. Akhirnya saya menemui hobi memasak dan belajar cara untuk menyediakan menu sihat secara dalam talian,” katanya kepada Majoriti.

majoriti2022 (7)

Variasi makanan sihat yang disediakan oleh Nur Atiqah sebagai hidangan harian. — Instagram

Manfaat makanan sihat

Dalam pada seronok bercakap tentang hobinya itu, Nur Atiqah mengakui awalnya dia berasa berat untuk melakukan anjakan dalam pilihan menu.

“Setiap perkara yang kita ingin lakukan jika bukan kebiasaan tentu akan berasa sukar. Namun saya tetap teruskan sehinggalah mampu menurunkan berat badan sebanyak 10kg dalam masa tiga bulan.

“Hasil penurunan berat badan itu buat saya yakin bahawa pilihan hobi ini tidak salah,” katanya seraya ketawa.

Nur Atiqah turut memberitahu amalan pemakanan sihat itu mampu membantunya mengekalkan berat badan sekarang iaitu 60kg.

Usahanya dalam mengamalkan pemakanan itu juga membuatkan anaknya berminat untuk kepada pemakanan sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Kami sekeluarganya kurang makan benda-benda bergoreng, makanan segera atau minuman manis. Anak juga begitu yang tidak suka kepada makanan yang terlalu manis.

“Dia lebih suka buah dan sayur. Harap perkara itu sampai ke besar dia akan suka. Anak juga jarang meminta untuk dibelikan makanan ringan atau snek,” ujarnya.

Pada masa sama Nur Atiqah turut memberitahu kecintaannya terhadap penyediaan menu sihat itu mampu menjimatkan perbelanjaan barangan dapur.

Katanya, pembelian seperti minyak masak, sos, santan, snek, makanan beku, mi segera atau makanan dalam tin agak kurang dibeli.

Dia juga tidak terlalu taksub dengan pemikiran makanan sihat ala T20 seperti ikan salmon, asparagus, campuran kekacang, avokado dan sebagainya.

Baginya cukup sekadar makanan kaya protein, sesuai untuk dimakan harian dan menjimat akan menjadi pilihan.

“Ramai orang cakap makanan sihat ini selalunya kos tinggi, tetapi pada saya tidak. Bukan bahan yang kita guna, tetapi cara memasak itu.

“Tidak terlalu gunakan minyak, perasa dan berlemak. Sebaiknya rebus atau bakar itu lebih baik. Tidak semestinya perlu guna ikan salmon, ikan kembung juga boleh,” jelasnya.

Mengisi masa lapang

majoriti2022 (6)

Sejak dua tahun lalu, Nur Atiqah mengubah hobi memasak menjadi amalan gaya pemakanan sihat sekali gus menurunkan berat badan dari 82kg ke 60kg.

Sebelum menutup bicara, penulis bertanyakan tentang minatnya itu dilihat lebih kepada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Masakan tidak, umum mengetahui setiap wanita yang berkahwin perlu ‘duduk’ di dapur dan jaga makan pakai suami serta anak.

Begitulah ideologi yang sudah diterapkan sejak berkurun lama sehingga sekarang.

Bagaimanapun Nur Atiqah tenang sambil melepaskan ketawa kecil, dia menjelaskan setiap perkara yang memberikan kepuasan dan keseronokkan ketika melakukannya, tetap dipanggil sebagai hobi.

Baginya, meskipun itu tanggungjawab, tetapi dia bukan seorang cef restoran. Sekiranya begitu memasak bukan lagi hobi, tetapi sudah menjadi kerjaya.

“Situasi sama dengan berbasikal atau bermain bola sepak. Jika dibandingkan dengan atlet berbasikal dan pemain bola sepak. Mereka menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya.

“Kedua-dua kelihatan serupa, tetapi berbeza kerana salah satunya aktiviti kegemaran manakala satu lagi kerja.

“Kadangkala bermula dengan hobi juga boleh mengetahui bakat terpendam mahupun kecenderungannya terhadap sesewaktu bidang seperti menjahit atau menyanyi,” terangnya.

Optimis dengan pandanganya itu, Nur Atiqah berpendapat setiap individu pasti memiliki minat masing-masing yang gemar dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram