Stres selepas bercerai, teringin nak kurus punca ibu 2 anak 'layan' syabu sampai ketagih


  • Massa
  • Ahad, 01 Sep 2024

Min (dua dari kanan) mengambil dadah jenis syabu kerana mengalami tekanan melampau selepas bercerai. — Facebook/AADK

TERJEBAK dalam najis dadah untuk beberapa tahun tidak menghalang seorang klien program rawatan dan pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mengikut program i-DEEN Kepulihan anjuran agensi berkenaan pada awal Jun lalu.

Klien wanita yang hanya mahu dikenal sebagai Min, dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, Kelantan mendapat tempat ketiga bagi kategori Syarahan Tafsir Puspen.

Kata wanita berusia 28 tahun itu, punca utama dia mengambil dadah jenis syabu kerana mengalami tekanan melampau selepas bercerai kira-kira empat tahun lepas.

BACA LAGI: Ibu bapa didakwa cuai hingga sebabkan anak perempuan 3 tahun positif dadah

BACA LAGI: [VIDEO] Siap tayang 'dapur' dan plastik lut sinar dadah, 4 remaja sekadar bersembang lepas tonton filem — Polis Melaka

"Ketika itu, anak saya masih kecil, saya berasa tertekan dengan masalah perceraian dan keluarga. Bermula saat itulah, saya cuba mengambil syabu selepas terpengaruh dengan ajakan rakan sekerja yang juga kawan baik saya.

"Tapi sebenarnya saya sendiri pun nak rasa sebab terlampau stres dan ada ketikanya rasa nak kurung diri. Maksudnya, saya memang nak larikan diri dari masalah dan lama kelamaan jadi ketagih syabu," kata ibu kepada dua anak itu ketika ditemui selepas program i-DEEN Kepulihan AADK 2024, di Ibu Pejabat AADK di Bangi, Selangor.

Berasal dari Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang itu, Min mengakui pernah cuba 'melarikan diri' seketika dari bahan terlarang itu namun terjebak untuk kali kedua apabila rakan-rakannya memberitahu kononnya dadah boleh menurunkan berat badan.

"Ketika itu umur saya 24 tahun, selepas berhenti ambil syabu dalam masa dua tahun, saya tiba-tiba ketagih semula. Lebih-lebih lagi apabila dapat tahu ia boleh kuruskan badan. Hanya dalam beberapa bulan berat badan turun dari 96 kilogram (kg) kepada 70kg.

"Sebelum itu, saya dah pernah cuba macam-macam cara nak diet tapi tidak berjaya. Sejak ambil semula syabu, saya lalui beberapa perubahan seperti kurang tidur, tak larat nak pergi kerja, selain berat badan, gangguan mental dan emosi. Tapi sekarang saya nak berubah dan tidak nak kembali ke kehidupan lama," katanya dengan penuh semangat.

WhatsApp Image 2024-08-31 at 00.49.52

Program i-DEEN Kepulihan (AADK) 2024, di Ibu Pejabat AADK di Bangi, Selangor pada Jun lalu. — Facebook/AADK

Mengenai kejayaan mendapat tempat ketiga pertandingan syarahan tafsir al-Quran itu, kata Min ia bertitik tolak daripada kerelaannya untuk mencuba mengasah bakatnya.

Program berkenaan untuk menggalakkan penglibatan aktif klien serta mewujudkan saingan secara sihat dalam aktiviti kerohanian, selain menjadi pemangkin bagi meningkatkan potensi diri dalam menjalani proses pemulihan seterusnya mengekalkan kepulihan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok, berkata i-DEEN adalah pendekatan baharu yang diketengahkan agensi itu di mana ia lebih menyeluruh merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual setiap klien.

Seramai 264 klien AADK yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) dan program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) menyertainya tahun ini.

Pasukan AADK Johor dinobatkan selaku johan keseluruhan selepas mendominasi dua kategori iaitu Tilawah al-Quran dan Syarahan Tafsir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram