Pernah jadi mangsa 'body shaming' antara liku-liku Agilan Thani bergelar jaguh tempatan


Agilan sempat berkongsi kisah susah dan senangnya sebelum muncul sebagai atlet ternama ONE Championship.

KEMENENGAN atlet ONE Championship tempatan, Agilan Thani pada Sabtu membangkitkan semula reputasinya selain mengharumkan nama negara dalam sukan mempertahankan diri itu.

Anak jati Pulau Pinang itu sememangnya satu figura yang ternama dalam sukan itu apabila pernah bertemu nama-nama besar seperti ahli gusti Amerika Syarikat, Ben Askren dan beberapa yang lain.

Tidak cukup dengan itu, kemenangan Agilan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu pasti bermakna selepas ribuan penyokong negara membanjiri stadium tertutup itu.

Bagaimanapun, kejayaan yang berjaya dicatatnya bukanlah satu perkara mudah selepas dia terpaksa mengharungi pelbagai onak duri sebelum berada di tahap tersebut.

Siapa sangka, Agilan pernah mengalami masalah kesihatan apabila berat badannya mencecah 140 kilogram ketika masih menuntut di sekolah menengah.

Perkara itu sering menjatuhkan semangatnya dengan rakan-rakan menjadikan rupa parasnya bahan ejekan selain bapanya sendiri enggan untuk memberi kata-kata dorongan.

Namun, dengan fikiran positif dan perasaan tidak mahu menyerah kalah, Agilan tekad untuk mengubah nasibnya sendiri dengan melakukan senaman dan pemakanan yang sistematik.

Agilan-Thani-13487393_1404740079542387_421662001_n

Agilan merupakan seorang yang obesiti sebelum bergiat dalam sukan itu. Agensi

"Obesiti ini sebenarnya kita perlu diet sahaja, tetapi kalau kita sudah tahu cara yang terbaik, semuanya akan menjadi lebih senang.

"Selain itu, untuk mula kuruskan badan, saya bermula dengan jiu-jitsu dan terpengaruh dengan lain-lain, seperti Muay Thai dan seni mempertahankan diri campuran (MMA) kerana jurulatih saya dahulunya bergiat dalam sukan itu," katanya kepada Majoriti.

Sejak itu, Agilan berjaya mengubah takdir hidupnya sehingga berjaya bergelar seorang atlet mempertahankan diri pada usia 18 tahun dengan menceburkan diri dalam bidang itu di peringkat amatur.

Tetapi, meskipun sudah menjalani latihan intensif untuk melayakkan diri dalam bidang tersebut, ia masih tidak mudah apabila bapanya sendiri tidak memberikan dorongan dan motivasi yang diharapkan.

"Saya memang minat dengan sukan ini, bapa saya pula sebenarnya tidak benarkan saya sertai. Semasa saya mula bergiat, iaitu ketika bekerja sambilan sebagai tukang bersih di salah satu gimnasium sekitar Kuala Lumpur, ayah saya cakap jangan," katanya.

Tambahnya, dia hanya diberikan tempoh selama dua tahun untuk mencapai tahap yang lebih tinggi atau perlu menceburi bidang lain sekiranya tidak berjaya.

Agilan-Thani-IMG_4000-1200x800

Kesungguhan Agilan Thani meletakkan dirinya di persada dunia hari ini. Agensi

Tekad untuk terus kekal dalam bidang yang diminatinya itu, Agilan terus mencabar diri dengan bermula di peringkat bawahan sebelum muncul sebagai salah seorang atlet ternama.

Atlet berusia 28 tahun itu juga sering berdepan cabaran tersendiri ketika aktif dalam sukan itu dengan beberapa siri kecederaan sehingga memaksanya untuk menjalani pembedahan.

"Saya ada banyak kecederaan tetapi yang paling teruk saya ingat adalah yang dialami ke atas tulang belakang saya pada 2019 dan perlu buat pembedahan untuk baik pulih," katanya.

Jelas 'The Alligator', isu itu dialami kerana kekurangan pengalaman serta pengetahuan ketika menjalankan latihan, namun sudah diambil iktibar untuk mengelak perkara sebegitu berulang.

Sepanjang hampir 10 tahun dalam sukan itu, atlet tempatan itu berjaya menghasilkan satu rekod cemerlang selepas muncul sebagai pemenang sebanyak 11 kali dan hanya mengalami tujuh kekalahan.

Kemenangan ke atas wakil Jerman, Ilja Stovanov pada Sabtu itu juga membuka peluangnya dengan lebih luas untuk mengejar gelaran dunia dalam kategori beratnya apabila hanya perlu merekodkan kemenangan sebanyak dua kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram