[VIDEO] Tepis stereotaip, usia tak halang ibu-ibu di London beraksi atas papan selaju


  • Benua
  • Isnin, 10 Mac 2025

London Skate Mums berharap untuk mengembangkan kelab itu dengan matlamat utama memiliki ruang dalaman mereka sendiri. — Agensi

SEKUMPULAN wanita di London,United Kingdom (UK) menubuhkan kelab papan selaju, London Skate Mums dengan tujuan untuk menjadikan sukan berkenaan lebih mudah diakses oleh golongan wanita berusia.

Kelab tersebut terbuka kepada wanita yang berumur antara 30 hingga 60 tahun dan akan bertemu sebulan sekali di taman papan selaju sekitar ibu kota.

Salah seorang ahli, Jules Kurzeja, 64, berkongsi pengalamannya yang pernah dianggap sudah terlalu tua dan tidak sesuai untuk bermain sukan lasak.

BACA LAGI: Papan luncur beri wanita muda rangsangan kesihatan mental

BACA LAGI: Kajian dapati mood terganggu sehari suntuk jika tidak bersarapan

 

 

Bagaimanapun ujarnya, berada dalam kumpulan London Skate Mums memberi lebih banyak keyakinan untuk beliau terus aktif.

"Kadang-kadang saya pergi ke taman sendirian, dan di sana hanya ada saya dengan 16 remaja lelaki lain.

"Saya sudah biasa dengan keadaan itu sekarang, ia membantu saya untuk mempunyai rakan sebaya," ujar Jules.

Kelab berkenaan tidak hanya menyediakan ruang bersosial dan berlatih bersama, tetapi juga bekerjasama dengan sekolah papan selaju tempatan untuk mengadakan sesi latihan, yang memberi peluang kepada ahli meningkatkan kemahiran mereka.

Kelab tersebut turut menyediakan ruang bersosial dan latihan bermain papan selaju secara beramai-ramai. — Instagram/londonskatemums

Selain itu, mereka turut menggalakkan lebih ramai wanita mencuba sukan papan selaju dengan mengadakan program sempena Hari Wanita Antarabangsa, yang berlangsung pada 8 Mac lalu.

Ke hadapan, London Skate Mums berharap untuk mengembangkan kelab itu dengan matlamat utama memiliki ruang dalaman mereka sendiri.

Perkembangan itu diharapkan dapat memberi lebih banyak peluang kepada wanita terlibat dalam sukan papan selaju tanpa halangan cuaca atau lokasi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram