Bukan saja lagu, 5 karya angkat nama wanita jadi taruhan judul filem


  • Hiburan
  • Khamis, 03 Nov 2022

Babak yang memaparkan Jamal Abdillah bersama Fauziah Ahmad Daud dalam filem Azura. — Facebook/SIAR

SATU ketika dahulu, lagu bergenre rock kapak banyak menggunakan nama wanita sebagai judul dalam karya mereka.

Tetapi bukan sahaja lagu, filem juga ada yang menggunakan nama wanita sebagai judul. Malah, ada yang berjaya meraih jumlah tontonan tinggi.

Filem Azura lakonan Fauziah Ahmad Daud pada 1984 dan berjaya menaikkan nama Datuk Jamal Abdillah sebagai pelakon.

Malah, filem ini juga walaupun tidak mendapat kutipan yang baik semasa ditayangkan, masih kekal ditonton hingga kini.

Berikut Majoriti senaraikan lima nama wanita yang digunakan sebagai judul dalam filem tempatan.

Mira Edora

Mira Edora merupakan filem arahan Zulkifli M Osman yang ditayangkan pada 1990 serta merupakan filem adaptasi dari novel yang pertama dalam negara.

Filem itu diadaptasi daripada karya penulis novel terkenal, Khadijah Hashim dan menjadi fenomena kerana menampilkan pelakon hebat seperti Julia Rais, Noorkumalasari, Mustapha Kamal dan Sofia Jane.

Dialong 'I'm talking to you Mira!' yang dilantunkan Noorkumalasari memberi kesan kepada penonton dan kekal diingati hingga kini.

Maria Mariana

Bukan satu, tetapi filem yang menggunakan judul Maria Mariana ini mempunyai sekuel dek kerana sambutan penonton yang hangat.

Filem arahan Datuk Yusof Haslam ini berjaya meraih kutipan pecah panggung menerusi Maria Mariana (RM4.7 juta) dan Maria Mariana II (4.8 juta).

Selain gandingan pelakon terkenal seperti Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, runut bunyi filem ini yang menggunakan judul sama juga masih kekal menjadi pilihan pendengar khususnya di pusat karaoke.

Rozana Cinta 87

Filem Rozana Cinta 87 adalah sebuah filem yang ditayangkan pada 1987 dan diarahkan oleh Nasir Jani.

Antara pelakon yang terlibat dalam filem tersebut ialah Helmi Hussaini Ali, Nurhabibah Lee, Ziela Jalil, Liza Othman dan Erma Fatima.

Terdapat satu babak kritikan sosial dalam filem itu yang menegur penjawat awam berkaitan dengan tanggungjawab ketika bekerja.

Oh Fatimah

Bergenrekan komedi, filem Oh Fatimah merupakan karya lakonan dan arahan A.R. Badul yang ditayangkan pada 1989.

Filem Oh Fatimah ketika ditayangkan mendapat kritikan kerana tidak membawa sebarang pembaharuan dan menampilkan unsur 'lawak bodoh'.

Namun, filem seperti ini juga antara yang menjadi penyambung nyawa dunia filem tempatan ketika negara kekurangan karya seni ketika itu.

Ghazal Untuk Rabiah

Filem arahan V. Nagaraj ini ditayangkan pada 1997 dan menampilkan pelakon utama yang juga raja pop negara, Datuk Jamal Abdillah dan heroin, Wilma Muhammad.

Filem ini juga adalah aksi terakhir Jamal sebagai hero di layar perak.

Menariknya, runut bunyi filem ini yang menggunakan tajuk sama dendangan Jamal dan Datuk M.Nasir berjaya menjuari kategori Irama Malaysia dalam Anugerah Juara Lagu pada 1997. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram