Hael Husaini terharu Anta Permana nyanyian TokTi jadi pilihan 'playlist' Raja Charles


  • Relaks
  • Selasa, 11 Mac 2025

Lagu Anta Permana nyanyian Siti Nurhaliza (kanan) terpilih dalam senarai lagu peribadi Raja Charles.

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencatatkan sejarah baharu dalam arena muzik negara apabila lagu nyanyiannya berjudul Anta Permana terpilih dalam senarai lagu peribadi Raja Britain, Raja Charles III.

Lagu tersebut menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music yang menghimpunkan karya negara-negara Komanwel bagi meraikan kepelbagaian muzik seluruh dunia.

Rakaman The King’s Music Room yang berlangsung di Istana Buckingham memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman peribadi Raja Charles.

BACA LAGI: Single pertama sebagai Biduanita Negara, Siti Nurhaliza abadikan perjalanan seni menerusi 'Sejarah'

BACA LAGI: [VIDEO] Momen 3 dekad anak seni Siti Nurhaliza dipamerkan di Pavilion KL, tarikan Pameran Budaya Raya

Tangkap layar memaparkan hantaran di Insta Story Siti Nurhaliza.

“Muzik memberi makna besar dalam hidup saya. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi membangkitkan kenangan dan menyatukan kita dalam kegembiraan,” titah baginda dalam siaran khas tersebut.

Anta Permana, lagu ciptaan sepenuhnya Ezra Kong dan Hael Husaini diambil daripada perkataan Melayu klasik yang membawa makna tidak terkira atau infiniti.

Penerbitan single yang dikeluarkan pada 2018 itu bermula apabila Hael  menyampaikan hasrat kepada pengurusan Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music Malaysia untuk mencipta sebuah lagu buat penyanyi nombor satu negara berkenaan.

Pada tahun sama, Anta Permana berjaya menduduki tangga teratas di iTunes sekali gus mengetepikan lagu Head Above Water nyanyian Avril Lavigne, selain tanda pagar lagu itu turut menjadi sohor kini di media sosial.

Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, itu turut berkongsi perkhabaran gembira mengenai pemilihan Raja Charles itu menerusi laman Instagram miliknya pada Isnin.

"I am beyond blessed and deeply thankful," katanya menerusi hantaran di Insta Story.

Menjengah ke ruangan Instagram milik Hael Husaini pula, penyanyi dan komposer itu turut meluahkan rasa syukurnya selepas dimaklumkan mengenai pemilihan tersebut.

"Saya tidak pernah membayangkan salah satu karya bersama Ezra Kong, yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza berjudul Anta Permana, akan dipilih sebagai salah satu lagu dalam senarai lagu Raja Charles III.

"Alhamdulillah, bangga menjadi rakyat Malaysia," ungkapnya.

Selain Siti Nurhaliza, playlist tersebut turut dimeriahkan dengan penyanyi wanita tersohor dunia antaranya Beyonce dengan lagu Crazy In Love, Raye (Love Me Again), Kylie Minogue (The Loco-Motion), Diana Ross (Upside Down) dan Anoushka Shankar (Indian Summer). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram